DUNIA
Wabak chikungunya bawaan nyamuk merebak di selatan China

Pihak berkuasa telah melancarkan pelbagai langkah bagi mengekang penularan virus itu, termasuk kempen kawalan nyamuk berskala besar. - Gambar hiasan
SHENZHEN (China): Wabak virus chikungunya yang dibawa oleh nyamuk terus merebak di Wilayah Guangdong, selatan China, dengan pihak berkuasa tempatan melaporkan lebih 7,700 jangkitan setakat Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kebanyakan kes tertumpu di bandar Foshan, tempat wabak itu mula dikesan pada musim panas ini.
Kes terpencil turut dilaporkan di ibu negeri wilayah itu, Guangzhou, serta beberapa bandar berdekatan.
Sementara itu, Hong Kong, sebuah Wilayah Pentadbiran Khas China, turut melaporkan kes pertama.Pihak berkuasa telah melancarkan pelbagai langkah bagi mengekang penularan virus itu, termasuk kempen kawalan nyamuk berskala besar. Antara langkah yang diambil termasuk melepaskan ikan pemakan jentik-jentik ke dalam kawasan berair bagi mengurangkan pembiakan nyamuk.
Selain itu, nyamuk gajah - spesies tidak berbahaya yang larvanya memakan larva nyamuk lain - turut dilepaskan bagi membantu mengurangkan populasi nyamuk pembawa virus.
Bagaimanapun, beberapa langkah kawalan mendapat kritikan di media sosial kerana dikatakan menyamai peraturan semasa pandemik COVID-19. Sebagai contoh, farmasi di Foshan diwajibkan mencatat maklumat pelanggan yang membeli ubat untuk gejala seperti demam atau sakit sendi - mirip sistem pengesanan kontak yang pernah digunakan sebelum ini untuk mengesan rantaian potensi jangkitan.
Di wilayah berjiran, Fujian, dua bandar telah mengarahkan pengembara yang pulang dari Guangdong supaya menjalani pemantauan kendiri selama 14 hari.
Penyakit chikungunya, yang disebarkan oleh spesies nyamuk tertentu, menyebabkan gejala seperti selesema termasuk demam serta sakit sendi dan otot yang teruk.
Gejala biasanya hilang dalam tempoh satu hingga dua minggu. Kebanyakan pesakit pulih sepenuhnya, namun virus ini lebih berisiko kepada individu yang menghidap penyakit kronik, wanita hamil dan bayi. Kematian akibat jangkitan ini jarang berlaku.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami