JAKARTA: Wakil dari 80 negara dan organisasi antarabangsa dijangka berhimpun di Jakarta dari 21 hingga 23 Okt bagi Persidangan Dunia Ekonomi Kreatif (WCCE) 2026, yang bertujuan memperkukuh kerjasama global dan memperluas akses pasaran dalam sektor kreatif.
Menteri Ekonomi Kreatif Indonesia Teuku Riefky Harsya berkata persidangan itu dijangka menghasilkan antara lain satu dokumen yang menggariskan visi bersama bagi pembangunan ekonomi kreatif global.
Dokumen yang dinamakan “Visi Jakarta mengenai Ekonomi Kreatif” itu akan menggariskan hala tuju pembangunan ekonomi kreatif global, menurut beliau seperti yang dipetik dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Badan Komunikasi Kerajaan Indonesia (Bakom RI) pada Khamis.
Menurut Bakom RI, dokumen itu akan memberikan tumpuan kepada empat bidang utama, iaitu kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital; kemampanan, ekonomi kitaran dan reka bentuk regeneratif; harta intelek dan hak pekerja kreatif; serta ekosistem kreatif inklusif dan pemerkasaan komuniti.
Menurut agensi itu, dokumen berkenaan juga dijangka menjadi antara asas perbincangan mengenai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan ekonomi kreatif sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan global.
Bertemakan “Kreatif Secara Inklusif”, WCCE 2026 akan berlangsung di Hotel Indonesia Kempinski Jakarta, dengan Menteri Komunikasi Malaysia Datuk Seri Fahmi Fadzil dijangka mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan selama tiga hari itu.
WCCE yang diperkenalkan oleh Indonesia pada 2018 berkembang menjadi platform global yang menghubungkan pelbagai pihak berkepentingan dalam ekosistem ekonomi kreatif.
Persidangan tahun ini adalah penganjuran kali kelima dan kali ketiga Indonesia menjadi tuan rumah.
-- BERNAMA