KUALA LUMPUR: Dasar luar China yang disifatkan media Barat sebagai "berubah menjadi agresif" menimbulkan kegusaran berhubung implikasinya terhadap negara-negara Asia Tenggara.

Bagaimanapun, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan) HELP University Prof Datuk Dr Zakaria Ahmad berkata, penting bagi Malaysia mengambil iktibar daripada dasar luar tersebut, terutama berkaitan selok-belok pembangunan ekonomi yang terkandung di dalamnya.

Katanya, perubahan dasar luar itu dikaitkan dengan faktor dalaman negara tersebut, seperti pertumbuhan ekonomi, peningkatan semangat nasionalisme dan kestabilan sosial serta politik.

“Yang penting kepada Malaysia, kalau kita lihat perkembangan di China, apa yang berlaku ini adalah sangat menakjubkan, terutamanya dari segi pembangunan ekonomi.

“Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang membangun perlu mempelajari bagaimana China memperjuangkan ekonominya dan bagaimana republik itu boleh membantu membangunkan ekonomi negara kita.

“Ia termasuk menerusi inisiatif Jalur dan Laluan. Ia adalah peluang untuk kita mempelajarinya.

"Namun, sebaliknya, kita tidak boleh berpandukan terlalu banyak kepada China, kerana gusar perkara ini akan merencatkan hubungan dua hala,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program AWANI Pagi yang membincangkan tajuk 'Diplomasi Wolf Warrior: Adakah China semakin agresif?' hari ini. 



Pada masa sama, jelas Zakaria, Malaysia perlu menerima apa yang China tawarkan kepada negara ini, namun dalam keadaan berwaspada.

Katanya, Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada tawaran-tawaran itu, melihat kepada apa yang berlaku terhadap Sri Lanka ketika ini.

Justeru, jelasnya, China yang merupakan negara kedua ekonomi terbesar di dunia itu mampu memberi pengaruh yang kuat ke atas Malaysia.

Malaysia perlu meneliti apa yang boleh diterima atau sebaliknya, untuk memperkukuhkan hubungan dua hala, kata Zakaria.