Barisan kepimpinan tertinggi dalam pentadbiran Presiden sementara Michel Temer menimbulkan kemarahan golongan wanita di Brazil kerana kesemuanya lelaki.

Sejumlah 24 menteri yang diperkenalkan kepada rakyat negara itu melalui siaran televisyen selepas penggantungan Dilma Rousseff, semuanya ialah lelaki kulit putih.

“Ia adalah kerajaan lelaki kulit putih dan ia agak menakutkan. Ini adalah kali pertama sejak pemerintahan kuku besi (1964-85). Tiada seorang pun wanita. Ini membimbangkan,” ujar pakar undang-undang sivil Ivar Hartmann.

Pembentukan ‘pentadbiran lelaki’ itu mengejutkan memandangkan Roussef, yang digantung beberapa jam sebelum pengumuman itu, merupakan presiden wanita pertama Brazil dan salah seorang daripada wanita paling berkuasa di dunia.

Temer, 75, pada Khamis berucap tentang usaha menyatukan negara itu namun ketiadaan wanita dan wakil kulit hitam menimbulkan banyak tanda tanya.

Wanita dan rakyat kulit hitam mewakili separuh daripada populasi negara Latin gergasi itu.

“Ini menunjukkan kerajaan ini tidak telus. Ia menunjukkan bahawa mereka tidak mewakili rakyat,” ujar Raquel Vasconcelos de Castro, 19, yang menyertai protes di luar bangunan Presiden sewaktu pengumuman barisan kabinet baharu.

Rousseff menyerlah dalam politik Brazil yang didominasi lelaki apabila beliau meluluskan undang-undang yang melindungi wanita daripada keganasan dan meletakkan kuota bagi pelajar kulit hitam di universiti.

Sewaktu dalam pentadbirannya, Roussef pernah melantik beberapa tokoh wanita untuk mengetuai kementerian dan juga jabatan-jabatan penting dalam pentadbiran negara.