HIDANGAN sushi merupakan lambang pengaruh budaya Jepun di peringkat global, namun penyediaan hidangan itu masih terhad kepada kaum lelaki.

Lapor agensi berita AP, penyediaan itu seolah eksklusif kepada kaum lelaki kerana sikap 'macho' yang dikenali sebagai ‘Edo-style’ dan kepercayaan bahawa suhu badan wanita akan menyebabkan rasa yang kurang sedap jika ia disediakan oleh mereka.

Selaras dengan usaha kerajaan Jepun untuk menggalakkan wanita tergolong dalam tenaga kerja, ramai wanita mengambil inisiatif untuk mencabar tradisi ini.

"Saya rasa wanita lebih baik dari segi komunikasi dengan pelanggan, dan mereka baik hati dan lemah lembut," kata Yuki Chidui, 28, seorang chef sushi dan pengurus di restoran sushi Nadeshico di Tokyo.

Tambah beliau, berbeza dengan chef sushi lelaki, Chidui memilih cara ‘kawaii’ atau ‘comel’.

Chidui memberitahu bahawa dalam tempoh lima tahun menubuhkan Nadeschico, ada yang ragu-ragu dengan kebolehan beliau untuk menyediakan sushi.

Seorang chef sushi, Masayuki Tsukada, turut mengeluh dan berkata tiada rakan setugas wanita di tempat kerja beliau.

Katanya, apa yang penting adalah pengalaman, pandai bercakap dan tahu nama-nama ikan yang digunakan.

Menurut pengetua Tokyo Sushi Academy, Sachiko Goto pula, “Lebih ramai wanita diterima sebagai chef sushi di restoran dan juga di luar negara berbanding Jepun. Namun ia masih dikuasai oleh kaum lelaki.”

Lapor AP, tiada fakta rasmi tentang jumlah chef sushi wanita namun secara keseluruhannya Jepun mempunyai seramai 35,000 chef sushi.

Baru-baru ini, pihak kerajaan Jepun menggalakkan wanita untuk memasuki tenaga kerja serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Sasaran kerajaan Jepun adalah untuk wanita mengisi 30 peratus daripada jawatan kepimpinan pada tahun 2020.

Ketika ini, hanya lapan peratus wanita mengisi jawatan kepimpinan di syarikat yang memiliki 100 atau lebih pekerja.