Wanita maut ditembak depan rumah di Tak Bai

Bernama
Disember 2, 2021 04:18 MYT
Wanita yang berusia 44 tahun itu maut di tempat kejadian dengan beberapa kesan tembakan pada bahagian dada. - Gambar hiasan
NARATHIWAT: Seorang suri rumah maut selepas terkena tembakan di depan rumahnya di Tak Bai, Narathiwat dalam kejadian pada kira-kira pukul 10.20 pagi (waktu tempatan) pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis (Siasatan) Tak Bai Kapt Pol Phutida Nitichart berkata wanita yang berusia 44 tahun itu maut di tempat kejadian dengan beberapa kesan tembakan pada bahagian dada.
Beliau berkata polis telah menahan seorang lelaki di sebuah kedai kopi yang terletak berdekatan tempat kejadian.
"Saksi memberitahu polis bahawa suspek yang memakai pakaian seragam renjer telah mengugut penduduk tempatan sebelum kejadian," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Phutida berkata motif kejadian masih dalam siasatan polis.
--BERNAMA
#Thailand #polis #tembak #tak bai