MOSCOW: Sejumlah warga asing, termasuk warga AS telah ditahan di Afghanistan atas pelbagai sebab, termasuk berkaitan "isu keselamatan," lapor Sputnik, memetik jurucakap pentadbiran negara itu, Zabihullah Mujahid.

Mujahid berkata keputusan mengenai tahanan itu akan dibuat oleh kerajaan sementara dan mereka akan dibebaskan jika terbukti tidak bersalah.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan jumlah sebenar mereka yang ditahan.

"Orang-orang yang (disyaki) terlibat dalam isu keselamatan atau isu yang bertentangan dengan undang-undang negara dan peraturan kehidupan di Afghanistan telah ditahan.

"Kami akan jalankan siasatan dan melihat berapa ramai daripada mereka penjenayah. Jika terbukti mereka bukan penjenayah , mereka akan dibebaskan tetapi jika sebaliknya, kami akan mencari penyelesaian," kata jurucakap itu dalam wawancara dengan saluran TV TOLOnews Afghanistan pada Ahad.

Taliban mula berkuasa di Afghanistan pada Ogos 2021.

Pada September tahun yang sama, kumpulan itu membentuk kerajaan baharu yang diketuai oleh Mohammad Hasan Akhund.

-- BERNAMA