SAO PAULO: Senator Brazil, Flavio Bolsonaro, mengisytiharkan dirinya sebagai pemimpin sah negara itu sejurus tiba di Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, sambil mendakwa beliau menjadi mangsa “rampasan kuasa pilihan raya” yang didalangi Mahkamah Agung Brazil dan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva.
Flavio tiba di Miami selepas meninggalkan Brazil walaupun enggan mematuhi arahan Mahkamah Agung supaya menyerahkan pasportnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Argentina, Javier Milei atas bantuan yang diberikan untuk perjalanannya ke AS, serta Presiden AS, Donald Trump yang meluluskan visa kemasukan kepada beliau dan keluarganya.
Dalam surat terbuka yang dimuat naik di platform X, Flavio pada awalnya menggelarkan dirinya sebagai “Presiden yang dipilih rakyat.”
Namun, hantaran itu kemudian dipadam sebelum digantikan dengan versi baharu yang menyifatkan dirinya sebagai “pemimpin” Brazil yang sah.
“Saya ingin menyatakan kepada 60 juta pengundi saya dan rakyat Brazil bahawa saya adalah pemimpin negara ini, manakala pihak yang mencuri pilihan raya adalah sebahagian daripada organisasi jenayah yang menubuhkan pemerintahan zalim,” katanya.
Kemenangan Lula dalam pilihan raya diiktiraf mahkamah pilihan raya persekutuan Brazil, para pemimpin dunia, pemerhati antarabangsa serta parti politik Bolsonaro sendiri.
Ketua pihak berkuasa pilihan raya Brazil, Kassio Nunes Marques dalam satu kenyataan berkata, proses pilihan raya negara itu berlangsung sepenuhnya mengikut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan, tanpa merujuk secara khusus kepada surat terbuka Flavio.
Ketika ditanya wartawan mengenai kenyataan tersebut di Pangkalan Bersama Andrews, Trump enggan mengulas lanjut dan hanya mengulangi pandangannya sebelum ini bahawa pilihan raya berkenaan adalah “sangat pelik.”
Cabaran baharu buat Washington
Tindakan Flavio itu mewujudkan dilema kepada Washington yang sedang berusaha menguruskan hubungan dengan Brazil, negara terbesar di Amerika Latin dan pemilik rizab unsur nadir bumi kedua terbesar di dunia.
Lula sebelum ini menuduh Washington bersekongkol dengan keluarga Bolsonaro bagi membantu mereka kembali berkuasa.
Menjelang pilihan raya Ahad lalu, Reuters melaporkan wujud kempen oleh Jabatan Negara AS yang didakwa bertujuan membantu keluarga Bolsonaro mendapatkan semula kuasa, namun Washington menafikan campur tangan dalam urusan dalaman Brazil.
Trump pula sebelum ini mendakwa bapa Flavio, bekas Presiden Jair Bolsonaro, menjadi mangsa penganiayaan kehakiman.
Jair meninggalkan Brazil menuju AS selepas enggan mengakui kekalahan kepada Lula dalam pilihan raya 2022.
Beliau kemudian pulang ke Brazil sebelum dijatuhi hukuman penjara 27 tahun kerana merancang kudeta susulan serangan penyokongnya ke atas bangunan kerajaan di Brasilia.
Setakat ini, Jabatan Negara AS, pejabat Lula dan Mahkamah Agung Brazil belum mengeluarkan sebarang reaksi rasmi berhubung kenyataan terbaru Flavio.
Lula yang pernah dipenjarakan atas sabitan rasuah sebelum keputusan itu dibatalkan, minggu ini menyifatkan tindakan Bolsonaro meninggalkan negara itu sebagai sesuatu yang “memalukan” kerana beliau sepatutnya kekal di Brazil bagi membuktikan dirinya tidak bersalah.
Dakwaan tanpa bukti
Flavio meninggalkan Brazil secara rahsia selepas Mahkamah Agung mengeluarkan arahan berkaitan siasatan pengubahan wang haram yang turut membabitkan beliau.
Bagaimanapun, beliau menafikan sebarang salah laku.
Walaupun sebelum ini dianggap calon pilihan untuk memenangi pilihan raya Ahad lalu, Flavio tidak mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong dakwaan berlaku penipuan pilihan raya.
Beliau mempertikaikan keputusan itu selepas seorang hakim Mahkamah Agung yang dilantik Lula melanjutkan tempoh pengundian selama dua jam pada hari pengundian susulan dakwaan kempen Lula berhubung usaha menyekat pengundi di wilayah timur laut yang cenderung menyokong golongan kiri.
Namun, kempen Bolsonaro sendiri turut memohon lanjutan masa pengundian berikutan hujan lebat di negeri-negeri selatan yang menjadi kubu kuat konservatif.
Flavio tewas kepada Lula dengan majoriti kira-kira 4.5 juta undi.
Analisis Profesor Pedro Burgos dari Insper menunjukkan kurang daripada 35,000 undi, atau sekitar 0.03 peratus daripada jumlah keseluruhan undi, direkodkan dalam tempoh tambahan dua jam yang diperintahkan Mahkamah Agung.
Penganalisis politik berpendapat, peluang Flavio untuk membatalkan keputusan pilihan raya adalah amat tipis.
Dalam suratnya, beliau menafikan melarikan diri dari Brazil dan menegaskan beliau berlepas demi melindungi diri serta keluarganya daripada apa yang didakwanya sebagai usaha memburu musuh politik oleh Lula dan Mahkamah Agung Brazil.
“Saya tidak melarikan diri dari Brazil. Saya meninggalkan Brazil, tetapi saya tidak pernah meninggalkan rakyat Brazil,” katanya. - Agensi