MISSOURI: Seorang warga emas berusia 84 tahun yang didakwa telah menembak seorang remaja lelaki berkulit hitam di Missouri, Amerika Syarikat (AS) telah menyerah diri pada polis.

Namun Andrew Lester telah dilepaskan selepas membayar 10 peratus daripada jumlah keseluruhan wang jaminan sebanyak AS$200,000 (RM887,000).

Lester, lelaki berkulit putih, didakwa menembak Ralph Yarl, 16, selepas remaja berkenaan tersilap alamat.

Yarl mengalami kecederaan serius selepas ditembak di kepala dan di tangan pada Khamis malam.

Lester pula menghadapi tuduhan serangan jenayah.

Pihak pendakwa raya berkata, insiden berkenaan melibatkan "komponen perkauman".

Dalam kejadian pada minggu lalu, Yarl ingin menjemput dua adiknya namun dilaporkan memasuki kawasan kejiranan salah.

Remaja itu tiba di rumah Lester tanpa membawa telefon bimbit dan dikatakan keliru dengan alamat.

Selepas memetik loceng rumah, Lester terus menembak Yarl di bahagian kepala dan di tangan, tanpa bertanya apa-apa soalan lebih dahulu.

Jika disabit kesalahan, Lester berdepan hukuman penjara seumur hidup.