DUNIA
Warga New Zealand masuk pasaran kerja lebih awal, bersara lebih lewat - Banci

Lebih ramai golongan muda New Zealand menyertai pasaran kerja dan golongan dewasa yang lebih berusia pula terus bekerja lebih lama. - Gambar hiasan/Freeimages
WELLINGTON: Lebih ramai golongan muda New Zealand menyertai pasaran kerja dan golongan dewasa yang lebih berusia pula terus bekerja lebih lama, lapor Xinhua.
Banci terbaharu oleh Stats NZ pada Selasa menunjukkan peningkatan ketara dalam kadar pekerjaan belia, dengan kira-kira 66 peratus rakyat New Zealand berumur antara 15 hingga 29 tahun bekerja pada 2023, berbanding 57 peratus pada 2013.
Peningkatan terbesar dicatatkan dalam kalangan individu berumur 15 hingga 19 tahun, iaitu daripada 33.7 peratus pada sedekad lalu kepada 45.1 peratus, menurut laporan itu.
Trend ini dikaitkan dengan pasaran buruh yang kukuh selepas pandemik, dengan kadar pengangguran rendah dan permintaan tinggi terhadap tenaga kerja susulan sekatan sempadan akibat COVID-19, kata jurucakap Stats NZ, Rosemary Goodyear.Wilayah yang mempunyai industri bermusim yang rancak seperti Marlborough, Tasman dan Southland mencatat kadar pekerjaan belia tertinggi, terutamanya hasil peluang pekerjaan dalam sektor pertanian, perhutanan dan vitikultur, kata Goodyear.
Warga emas New Zealand juga semakin cenderung untuk terus bekerja. Peratusan individu berumur 65 tahun ke atas yang bekerja meningkat daripada 22 peratus pada 2013 kepada 24 peratus pada 2023, dengan peningkatan terbesar dalam kalangan mereka berumur 70 hingga 74 tahun, menurut statistik.
Faktor kesihatan yang lebih baik, jangka hayat yang lebih panjang serta tekanan kewangan dikenal pasti sebagai antara punca utama trend ini, dengan kadar pekerjaan dalam kalangan wanita warga emas meningkat pada kadar yang lebih pantas, tambah Goodyear.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami