DUNIA
Washington hampir capai persetujuan dengan China dalam isu TikTok - Setiausaha Perbendaharaan AS

Scott Bessent berkata, AS dan China telah mencapai "kemajuan yang sangat baik dalam butiran teknikal perjanjian itu."
MOSCOW: Amerika Syarikat (AS) hampir mencapai persetujuan dengan China mengenai platform media sosial TikTok, kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent pada Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Bagi perjanjian TikTok itu sendiri, kami hampir mencapai persetujuan atau sudah menyelesaikan isu berkenaan," kata Bessent kepada wartawan di Madrid menjelang hari kedua rundingan.
Mengenai perjanjian perdagangan, Bessent berkata, AS dan China telah mencapai "kemajuan yang sangat baik dalam butiran teknikal perjanjian itu."
Namun pada masa sama, pihak China mengemukakan "permintaan yang sangat agresif", katanya sambil menambah: "Kita akan lihat sama ada kita boleh capai persetujuan."Rundingan China-AS itu berlangsung dari 14 hingga 17 Sept di Sepanyol, membincangkan isu perdagangan, tarif dan platform TikTok.
Pada Jun lepas, Presiden AS, Donald Trump menandatangani perintah eksekutif untuk melanjutkan tarikh akhir penutupan TikTok selama 90 hari lagi atau sehingga 17 Sept.
Tahun lepas, Kongres AS meluluskan Rang Undang-Undang yang menetapkan tarikh akhir untuk syarikat induk TikTok, ByteDance, melupuskan pegangan sahamnya menjelang 19 Jan.
Namun, Trump telah beberapa kali melanjutkan tarikh akhir itu.
China dan AS kini terlibat dalam konflik dagang, yang tercetus selepas Trump mengenakan tarif 10 peratus ke atas semua import dari China pada Februari.
Pada Mac, tarif itu dinaikkan kepada 20 peratus. Selepas beberapa tindakan balas, tarif AS ke atas barangan China meningkat kepada 145 peratus, manakala tarif ke atas pembekal AS di China mencecah 125 peratus.
Kedua-dua negara kemudian bersetuju mengurangkan tarif masing-masing kepada 10 peratus selama 90 hari bermula 14 Mei.
Justeru, China mengenakan tarif 10 peratus ke atas import AS, manakala AS mengenakan tarif 30 peratus ke atas produk China, selain mengekalkan tarif khas 20 peratus terhadap fentanyl.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami