WASHINGTON: Syarikat gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Pfizer mengumumkan akan memperluaskan jumlah penjualan ubat-ubatan dan vaksin buatannya tanpa keuntungan kepada negara-negara miskin.

Di platform Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, Pfizer menjelaskan, ia ditawarkan kepada 45 negara berpendapatan rendah.

Mei lalu, Pfizer menawarkan 23 ubat yang dipatenkan kepada negara miskin secara penjualan tanpa keuntungan.

Pengumuman terbaharu ini termasuk ubat luar paten, menjadikan jumlah keseluruhan produk yang ditawarkan kepada lebih 500 jenis.

Ia adalah sebahagian daripada inisiatif yang dikenali sebagai 'An accord for a healthier world' yang diumumkan di davos tahun lepas.

Pfizer berharap langkah terbaharu ini akan membantu pihaknya untuk mencapai dan mempercepatkan wawasan syarikat tersebut untuk memboleh semua orang mempunyai akses kepada ubat-ubatan dan vaksin yang mereka perlukan untuk hidup lebih lama dan lebih sihat.

Perkembangan itu juga dijangka akan membantu menangani "beban penyakit dan keperluan pesakit yang tidak terpenuhi" bagi 1.2 bilion orang yang tinggal di 45 negara berpendapatan rendah.

Antara ubat-ubatan dan vaksin yang ditarawakan termasuk rawatan kemoterapi dan rawatan kanser mulut yang berpotensi merawat hampir satu juta kes kanser baharu setiap tahun.