DUNIA
WHO beri amaran, 13 pesakit ICU di Hospital Shifa Gaza di hujung tanduk susulan kekurangan bahan api

Situasi sistem kesihatan kritikal susulan kekurangan bekalan perubatan, bahan api dan kemasukan berterusan mangsa yang cedera. - Reuters
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pada Jumaat bahawa nyawa 13 pesakit unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Shifa, Gaza berada di hujung tanduk susulan bekalan bahan api yang semakin kritikal, sekali gus mendorong sistem kesihatan ke ambang kelumpuhan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Sistem kesihatan di Gaza berada pada tahap paling kritikal susulan kekurangan bekalan perubatan, bahan api dan kemasukan berterusan mangsa yang cedera," kata wakil WHO di Wilayah Palestin yang Diduduki pada sidang media Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva.
Richard Peeperkorn memaklumkan bahawa tiada bekalan bahan api yang dibenarkan masuk ke Gaza lebih 120 hari, menyebabkan hospital hampir lumpuh sepenuhnya, dan WHO telah menghantar 3,000 liter bahan api ke Hospital Shifa minggu ini bagi mengekalkan perkhidmatan kritikal, namun keadaan masih teruk.
"Ketiadaan bahan api telah melumpuhkan Hospital Shifa, ditambah dengan kemasukan berterusan mangsa yang cedera," katanya. "Hospital beroperasi pada kapasiti minimum dan terpaksa mengurangkan perkhidmatan bagi menjimatkan bahan api untuk penjagaan kritikal.""Terdapat 13 pesakit di ICU yang bergantung kepada mesin sokongan hayat yang akan terhenti jika bekalan elektrik terputus," katanya sambil menekankan bahawa katil hospital penuh dan pesakit kembali dirawat di lantai.
Beliau turut menggesa agar "pembunuhan tidak berperikemanusiaan" di Gaza dihentikan dan memaklumkan bahawa beberapa serangan dalam beberapa hari kebelakangan ini mengenai lokasi yang menempatkan penduduk kelaparan serta yang sedang cuba mendapatkan makanan, mengakibatkan ramai rakyat Palestin terbunuh dan cedera.
Sejak Oktober 2023, dianggarkan 90 orang terbunuh dan lebih 200 lagi cedera setiap hari di Gaza, katanya.
Di Kompleks Perubatan Nasser yang kini berfungsi sebagai wad trauma, kakitangan WHO menyaksikan pesakit muda ditembak ketika cuba mendapatkan makanan, termasuk seorang remaja 13 tahun dengan kecederaan di kepala dan dua lagi berusia 16 dan 21 tahun yang lumpuh akibat kecederaan tulang belakang.
WHO juga melaporkan peningkatan kes meningitis dalam kalangan kanak-kanak akibat keadaan sesak, kebersihan yang teruk dan gangguan vaksinasi, kata Peeperkorn.
Hospital kekurangan ujian untuk membezakan virus meningitis daripada bakteria yang boleh membawa maut, meningkatkan risiko salah diagnosis dan menjejaskan bekalan antibiotik yang terhad.
"Hospital tidak dapat beroperasi tanpa bahan api, bekalan atau keamanan," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami