WHO beri amaran penularan penyakit tidak terkawal di Gaza akibat sistem kesihatan lumpuh

WHO menegaskan bahawa usaha membina semula sektor kesihatan Gaza akan menelan belanja berbilion dolar dan mengambil masa berdekad lamanya. - Foto Reuters
KAHERAH: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa wabak penyakit di Gaza semakin tidak terkawal, dengan hanya 13 daripada 36 hospital di wilayah itu berfungsi sebahagiannya di tengah-tengah konflik dan kemusnahan yang berterusan, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
Ringkasan AI
- WHO beri amaran wabak penyakit di Gaza semakin tidak terkawal, hanya 13 daripada 36 hospital berfungsi sebahagian akibat konflik berterusan.
- Penyakit berjangkit seperti meningitis, cirit-birit dan masalah pernafasan meningkat, manakala ramai kanak-kanak terlepas vaksinasi penting; keperluan kesihatan mental juga melonjak.
- WHO gesa tindakan segera termasuk pemindahan mangsa cedera, akses bahan api, makanan dan bekalan perubatan; lebih 67,000 orang dilaporkan terbunuh sejak operasi ketenteraan bermula.
Menurut data WHO, hanya lapan pusat kesihatan yang masih beroperasi - semuanya secara separa - di Bandaraya Gaza, manakala hanya satu pusat yang masih berfungsi di utara wilayah itu. Kekurangan tenaga kerja menyebabkan banyak perkhidmatan kritikal masih digantung.
Dr Balkhy menegaskan bahawa usaha membina semula sektor kesihatan Gaza akan menelan belanja berbilion dolar dan mengambil masa berdekad lamanya, sambil menyatakan cabaran untuk menilai jumlah kerosakan disebabkan sekatan pergerakan yang berterusan serta keadaan yang sentiasa berubah.
Sejak 7 Okt 2023, lebih 800 serangan terhadap kemudahan kesihatan telah dilaporkan, menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Balkhy turut menyuarakan kebimbangan terhadap kanak-kanak yang dilahirkan dalam tempoh dua tahun lepas, yang kebanyakannya dipercayai terlepas daripada pemvaksinan penting kanak-kanak.
Laporan WHO awal bulan ini mendedahkan bahawa daripada 167,376 mangsa yang cedera akibat konflik sejak Oktober 2023, satu daripada empat mengalami kecacatan kekal, dengan kanak-kanak membentuk suku daripada jumlah yang cedera.
Keperluan kesihatan mental di Gaza juga meningkat lebih dua kali ganda, namun perkhidmatan sedia ada masih jauh daripada mencukupi, kata agensi itu.
Dr Balkhy merayu tindakan segera untuk memindahkan mangsa yang cedera ke Tebing Barat atau negara jiran bagi mendapatkan rawatan, selain menyeru agar akses kepada bahan api, makanan, bekalan perubatan dan tenaga kerja ditingkatkan.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 67,967 orang telah terbunuh sejak permulaan operasi ketenteraan Israel -- angka yang disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai boleh dipercayai.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


