DUNIA
Xi seru negara BRICS pertahankan multilateralisme, sistem perdagangan multilateral

Xi menggesa negara-negara BRICS untuk menegakkan multilateralisme demi mempertahankan keadilan serta kesaksamaan antarabangsa. - Gambar Reuters
BEIJING: Presiden China, Xi Jinping menggesa negara-negara BRICS untuk bersama-sama mempertahankan multilateralisme dan sistem perdagangan multilateral ketika menghadiri Sidang Kemuncak BRICS secara maya di Beijing, pada Isnin.
"Pada saat genting ini, negara-negara BRICS yang berada di barisan hadapan Selatan Global perlu mengamalkan Semangat BRICS iaitu keterbukaan, keterangkuman dan kerjasama menang-menang, bersama mempertahankan multilateralisme dan sistem perdagangan multilateral, mempertingkatkan kerjasama BRICS serta membina komuniti berkongsi masa depan untuk manusia sejagat," kata Xi menurut agensi berita Xinhua.
Xi menggesa negara-negara BRICS untuk menegakkan multilateralisme demi mempertahankan keadilan serta kesaksamaan antarabangsa.
Beliau berkata, negara-negara BRICS perlu menegakkan keterbukaan dan kerjasama menang-menang bagi melindungi ketertiban ekonomi serta perdagangan antarabangsa.Negara-negara BRICS juga perlu menegakkan solidariti dan kerjasama bagi memupuk sinergi untuk pembangunan bersama, tambah Xi.
Secara berasingan, Anadolu Ajansi melaporkan, Xi menggesa blok itu untuk bekerjasama "dengan lebih erat."
Beliau menekankan bahawa negara-negara BRICS merangkumi hampir separuh daripada populasi dunia, sekitar 30 peratus daripada keluaran ekonomi global dan satu perlima daripada perdagangan global.
Sambil menegaskan bahawa Beijing bersedia bekerjasama dengan negara-negara BRICS, Xi menggesa blok itu untuk "menggunakan kekuatan masing-masing, memperdalam kerjasama praktikal, serta memperluas kerjasama dalam bidang perniagaan, kewangan, sains dan teknologi."
Blok BRICS pada asalnya dibentuk oleh Brazil, Rusia, India dan China, dengan sidang kemuncak pertama diadakan pada 2009.
Perikatan itu kemudiannya diperluaskan dengan penyertaan Afrika Selatan, Mesir, Ethiopia, Indonesia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami