SEORANG juruterbang yang juga YouTuber sengaja merakam aksinya melepaskan diri dari sebuah pesawat dan membiarkan pesawatnya itu terhempas.

Strategi menambah angka tontonan di saluran YouTubenya itu akhirnya membawa masalah, apabila dia mungkin berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Dalam sebuah video yang ditonton lebih 3 juta kali berjudul “I crashed my airplane”, Trevor Jacob, 29, dilihat kononnya berdepan masalah enjin ketika sedang terbang di ruang udara selatan California pada November 2021.

Video itu menunjukkan ‘detik dramatik’ dia melepaskan diri dari pesawat ringan enjin tunggal itu sambil memegang selfie-stick di tangannya, lalu melompat keluar menggunakan payung terjun untuk mendarat di kawasan Taman Negara Los Padres.

Beberapa kamera sudah siap dipasang secara strategik di tubuh pesawat untuk merakam semua sudut aksinya, sekali gus merakam pesawat tanpa juruterbang itu menjunam lalu terhempas ke dalam kawasan hutan.

Jacob kemudian terus merakam aksinya yang kononnya cemas mencari tapak nahas itu dengan melalui pelbagai cabaran meredah hutan dan memanjat bukit dalam keadaan kehausan.

'Drama' cemas diteruskan di dalam hutan, kononnya mencari air dan juga tapak nahas.

Dia akhirnya berhenti untuk minum dari anak sungai, dan sejurus menjelang malam, dia bertembung pula dengan sebuah kenderaan yang menyelamatkannya.

Beberapa minggu selepas insiden itu, pasukan penyiasat dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Persekutuan melancarkan siasatan tentang nahas tersebut. Jacob diminta untuk memberitahu lokasi nahas namun dia tidak dibenarkan mengganggu bukti nahas itu.

Sedar dirinya menyalahi undang-undang, Jacob memberi helah dengan mengatakan dia tidak tahu lokasi nahas tersebut. Namun, dua minggu kemudian, dia didapati bersama seorang rakannya mengangkut keluar rangka pesawatnya itu dengan sebuah helikopter, untuk seterusnya dilupuskan.

Apabila tindakannya itu diketahui, Jacob akhirnya terpaksa berkata benar bahawa dia sengaja melanggar arahan pihak berkuasa dengan menceroboh bukti lokasi nahas.

Dia mengakui membuat laporan palsu berkenaan nahas itu dengan mengatakan pesawatnya kehilangan kuasa ketika terbang, dan turut memberi alasan dia tidak menemui kawasan sesuai untuk mendarat cemas ketika itu.

Semua 'alasan' situasi kecemasan itu bagaimanapun disangkal oleh pakar penerbangan dan juga komuniti juruterbang.

Jacob turut mengakui sengaja merancang kandungan video itu untuk menjana pendapatan menerusi tajaan sebuah syarikat pembuat dompet.

Badan regulasi penerbangan AS, FAA, telah merampas lesen juruterbang Jacob pada April tahun lalu.

Dia akhirnya bersetuju untuk membuat pengakuan bersalah atas dakwaan sengaja melakukan kemusnahan dan mengganggu siasatan rasmi dengan menceroboh lokasi nahas. Semua kesalahan itu membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara.

Begitupun, Jacob dijangka membuat rayuan sebelum hukuman dijatuhkan ke atasnya.

Untuk mendapat perhatian, ya dia sudah berjaya... namun bagaimana keputusan pihak berkuasa nanti?