Malaysia dan India iktiraf kemajuan besar dicapai Petronas, Gentari perkasa tenaga hijau

Anwar dan Modi berkata MIDC akan berperanan sebagai mekanisme strategik untuk memperkukuh penglibatan digital dua hala dan menyokong agenda transformasi digital Malaysia dan India. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia dan India mengiktiraf kemajuan ketara yang dicapai oleh Petroliam National Bhd (Petronas) dan Gentari dalam landskap tenaga boleh baharu dan hidrogen hijau India dalam sektor tenaga.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi, menekankan potensi besar untuk kerjasama seterusnya dalam inisiatif tenaga solar berskala besar, memanfaatkan kepakaran Malaysia untuk memacu penyelesaian tenaga bersih dan mencapai cita-cita pelepasan karbon sifar bersih bersama.
"Malaysia menghargai inisiatif India dalam menubuhkan International Solar Alliance (ISA)," katanya.
Kedua-dua pemimpin itu juga mengakui kepentingan strategik industri semikonduktor kepada landskap teknologi global dan menggariskan manfaat bersama dalam memperkukuhkan sinergi dua hala dalam sektor berkenaan.
"Mereka menekankan kepentingan mempertingkat kerjasama untuk memperkukuh rantaian nilai semikonduktor yang memberi tumpuan kepada inovasi teknologi, pembangunan tenaga kerja dan kestabilan rantaian bekalan untuk membina ekosistem yang berdaya tahan dan berdaya saing," katanya.
Sementara itu, kedua-dua perdana menteri itu memuji inisiatif kerjasama yang sedang dijalankan termasuk kerjasama antara IIT-Madras Global dan Advanced Semiconductor Academy of Malaysia serta antara Electronics and Semiconductor Association (IESA) dan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSI).
Kenyataan itu turut berkata kedua-dua pemimpin juga menyambut baik formalisasi Majlis Digital Malaysia-India (MIDC), mengiktiraf potensinya sebagai platform utama untuk memajukan kerjasama digital, memupuk inovasi dan meneroka projek kerjasama dalam bidang seperti teknologi kewangan (fintech), e-tadbir urus, keselamatan siber, kecerdasan buatan, infrastruktur awam digital (DPI) dan teknologi baharu muncul.
Anwar dan Modi berkata MIDC akan berperanan sebagai mekanisme strategik untuk memperkukuh penglibatan digital dua hala dan menyokong agenda transformasi digital Malaysia dan India.
Kedua-dua pemimpin itu mengalu-alukan kerjasama antara NPCI International Limited (NIPL) dan PayNet Malaysia untuk mewujudkan hubungan pembayaran dua hala.
"Mereka menyatakan bahawa integrasi ini akan meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan dengan ketara dan menyediakan penyelesaian pengiriman wang dan pembayaran yang lancar dan kos rendah untuk pelancong, pelajar dan perniagaan kecil, sekali gus membolehkan ketersambungan ekonomi dan hubungan antara rakyat yang lebih erat antara Malaysia dan India," kata kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


