TAKDIR Tuhan, dia mungkin tidak dapat melihat namun jutaan manusia di seluruh dunia kini terpukau melihatnya.

Putri Ariani, nama penyanyi dari Indonesia itu kini mekar dalam kalangan peminat hiburan, bukan hanya di negara jiran tapi menular ke seluruh dunia.

Mula ‘menggegar’ dunia ketika uji bakat America’s Got Talent (AGT) pada Jun lepas dan terbaharu, anak muda itu sekali lagi menggegarkan pentas AGT 2023.

Menyanyikan lagu “I Still Haven’t Found What I’m Looking For” yang dipopularkan kumpulan popular U2 di pentas separuh akhir, lontaran suara gadis berusia 17 tahun itu memukau penonton yang hadir.

BACA: Gadis buta ini peroleh 'Golden Buzzer', tawan hati juri America's Got Talent

Bahkan, empat juri AGT, Simon Cowell, Sofia Vergara, Heidi Klum dan Howie Mandel memberikan ‘standing ovation’ sebaik Putri selesai persembahan.

Bukan hanya mereka, penonton di Pasadena, Los Angeles turut sama memberikan tepukan gemuruh dan ‘standing ovation’ kepadanya.

“Dia memang layak,” komen Simon selepas Putri disahkan ke acara akhir di Las Vegas, berpeluang merebut hadiah bernilai AS$1 juta dan kontrak persembahan.

Keterujaan menyaksikan persembahan Putri tidak terhenti di situ.

BACA: Bagai mimpi dapat Golden Buzzer, dua hari video Putri Ariani ditonton 14 juta kali

Laman sosial, misalnya di TikTok, dipenuhi dengan video gadis kelahiran Bangkinang, Indonesia itu, terpukau dan memuji persembahan gadis itu.

Nama Putri juga ‘trending’ di Twitter dengan ribuan pengguna memuji persembahannya.

Di YouTube pula, menerusi akaun rasmi AGT, jumlah tontonan video persembahan putri kini sudah melebihi 3.5 juta tontonan (setakat artikel ini ditulis).

Jumlahnya jauh mengatasi peserta lain.

Paling hampir pun persembahan daripada Mzansi Youth Choir yang merekodkan jumlah tontonan lebih 236,000.

Berdasarkan angka itu, tidak hairanlah, dengan persembahan memukau itu, Putri berjaya lolos ke peringkat akhir AGT 2023.

BACA: Putri Ariani terima lebih 10 juta notifikasi melalui media sosial

Bak kata Howie, seusai persembahan Putri, hanya satu perkataan diungkapkannya: “Kesempurnaan!”

Tidak syak lagi, bukan hanya Howie, satu dunia juga berpendapat sebegitu.

“AGT telah mengubah hidup saya dengan cara yang indah dan hebat. AGT memisahkan halangan antara saya dan orang lain.

“Sekarang orang mula melihat saya sebagai seorang pemuzik dan mereka menghargai saya kerana muzik saya, bukan kerana latar belakang saya,” katanya dalam program tersebut.

Maju terus Putri Ariani!


-ENDS-