HIBURAN
AIM24 kembali rai industri muzik, tampil tiga kategori baharu

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Recording Industry Malaysia (RIM) dan Anugerah Industri Muzik AIM24, Rosmin Hashim (kanan) bercakap pada sidang media AIM24 di Bukit Kiara Equestrian, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Edisi ke-24 Anugerah Industri Muzik (AIM) yang kembali dianjurkan, menampilkan tiga kategori baharu yang mencerminkan kepelbagaian dan perkembangan muzik tanah air.
Ringkasan AI
- Tiga kategori baharu diperkenalkan: AIM24 menampilkan kategori Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, dan Kolaborasi Artis Tempatan bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik, bagi menghargai kepelbagaian muzik tanah air.
- Insentif pemenang dinaikkan: Kerajaan meningkatkan Dana Kandungan Kreatif (DKK) kepada RM700,000 untuk 11 pemenang, berbanding RM320,000 kepada empat pemenang dalam edisi sebelumnya.
- AIM24 berlangsung 13 September di Genting Highlands: Acara berprestij ini mempertandingkan 31 kategori anugerah dan akan disiarkan secara langsung menerusi TV2 serta RTM Klik.
Rosmin berkata acara berprestij yang akan berlangsung pada 13 Sept depan di Arena of Stars, Genting Highlands itu melibatkan 31 kategori anugerah untuk lagu dan album dalam bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan India yang dikeluarkan dari 1 Julai 2022 hingga 31 Dis 2024.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan juga telah meningkatkan insentif kepada pemenang utama anugerah itu menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah Kementerian Komunikasi, iaitu sebanyak RM700,000 kepada 11 pemenang berbanding RM320,000 kepada empat pemenang pada AIM sebelum ini.
"RTM juga akan menjadi penyiar rasmi AIM24 yang akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2 dan RTM Klik," katanya.
Kategori yang dipertandingan termasuk Artis Baharu Terbaik, Vokal Lelaki Terbaik, Vokal Wanita Terbaik, Vokal Kumpulan Terbaik, Kugiran Terbaik, Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik serta Video Muzik Terbaik. Turut dipertandingkan ialah Runut Bunyi Terbaik dalam filem atau drama, Lagu Rock, Pop, Rap/Hip Hop, Pop Elektronik/Dance terbaik serta lagu terbaik dalam bahasa Inggeris, Cina dan India.
Kategori lain, Lagu Melayu Terbaik yang dipersembahkan oleh artis luar negara, Kolaborasi Artis Tempatan bersama Artis atau Komposer Luar Negara Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Album Terbaik dan Lagu Terbaik.
Selain itu, satu Anugerah Khas Sri Wirama akan turut diberikan di samping lapan kategori praanugerah meliputi Kulit Single/Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik, Susunan Muzik Terbaik dalam Lagu, Lagu Paling Tinggi di Strim, Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton di YouTube dan Lagu Paling Tinggi Ditonton di TikTok.
"Pencalonan dibuka bermula hari ini hingga 4 Julai 2025, dan semua pencalonan perlu dihantar secara dalam talian menerusi laman rasmi www.aim1.org.my," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami