KUALA LUMPUR: Pelakon, Amelia Henderson telah menjelaskan RM10,000 kepada syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd selepas Mahkamah Tinggi di sini memerintahkannya membayar ganti rugi nominal berhubung isu pelanggaran kontrak sebuah drama, tahun lalu.

Peguam, Wan Nurliyana Abdul Rahman yang mewakili Amelia mengesahkan perkara itu dengan menyatakan selebriti kacukan India-Scotland terbabit melunaskan bayaran berkenaan pada Jumaat lalu.

“Ya, Amelia sudah membayar ganti rugi itu (seperti diperintahkan mahkamah) pada minggu lepas,” kata peguam itu.

Pada 27 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 28, selaku pemohon tidak perlu membayar RM200,000 kepada produksi itu sebaliknya hanya melibatkan nilai ganti rugi sebanyak RM10,000.

Sebelum ini, Amelia memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi itu pada 18 April lalu.

Hakim, Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan syarikat produksi itu selaku plaintif terhadap saman yang dikemukakan kepada Amelia selaku defendan.

Dalam penghakimannya ketika itu hakim tersebut berkata, mahkamah mendapati Amelia telah diikat dengan kontrak yang ditandatangani dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

Penghakiman mahkamah juga mendapati Amelia sendiri bersetuju membintangi drama itu selain turut bersetuju watak yang ditawarkan iaitu Aira yang mana Amelia adalah heroin dalam drama tersebut.

Justeru, mahkamah memerintahkan Amelia membayar ganti rugi am selain faedah lima peratus kepada plaintif yang kesemuanya berjumlah lebih RM200,000.

Sebelum ini media melaporkan Amelia dan pelakon Idris Khan berdepan dengan tindakan saman daripada A. Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.

Bagaimanapun, saman melibatkan A Aida dan Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes saman itu.

Bagaimanapun pada Ogos lalu, Amelia berjaya dalam permohonannya untuk menangguhkan permohonan maaf dan bayaran ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi ini. - Sinar Harian