[ANALISIS] FFM34 dan krisis arah penilaian sinema Malaysia
![[ANALISIS] FFM34 dan krisis arah penilaian sinema Malaysia [ANALISIS] FFM34 dan krisis arah penilaian sinema Malaysia](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/51762404300_tbBabah.jpg)
FFM perlu melalui reformasi epistemik – daripada festival yang menilai hasil kepada festival yang membentuk wacana sinema nasional yang terbuka dan progresif. - Gambar Instagram FestivalFilemMalaysia34
PADA awalnya, penulis tidak berhasrat untuk menulis apa-apa selepas melihat senarai pencalonan Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34).
Berdasarkan senarai tersebut, jelas bahawa sinema tempatan bukan sahaja belum mampu melangkah jauh, malah perkembangannya masih belum menunjukkan sebarang sinar yang meyakinkan.
Namun, selepas berfikir selama dua malam, penulis merasakan ada keperluan untuk menyuarakan sedikit pandangan.
Mana-mana festival filem peringkat nasional seharusnya menjadi bab penting dalam sejarah penilaian sinema tempatan.
Namun, pada masa sama, ia turut memperlihatkan krisis arah pemilihan yang semakin runcing.
Saban tahun, keputusan anugerah tertinggi sering menimbulkan persoalan tentang bagaimana kita menilai "kecemerlangan" dalam konteks filem tempatan dan apakah kriteria tersebut masih relevan dengan landskap sinema dunia yang sedang berubah.
Filem yang diangkat sebagai Filem Terbaik lazimnya memenuhi syarat-syarat tradisional – teknikal yang kemas, naratif yang mudah dilayan serta keutuhan moral yang sejajar dengan nilai arus perdana.
Namun persoalan yang lebih mendalam ialah sama ada festival seperti FFM masih berfungsi sebagai medan penemuan artistik atau sekadar menjadi pentas pengiktirafan institusional terhadap kesempurnaan industri kononnya.
Dalam hal ini, peranan festival sepatutnya jauh lebih besar daripada sekadar memilih pemenang.
Festival ialah ruang wacana sinema – tempat di mana suara dan bentuk penceritaan yang berbeza diberi peluang untuk berunding dengan masyarakat.
Namun, yang terlihat di FFM ialah kecenderungan untuk mengekalkan struktur penilaian yang selamat, menolak risiko, dan menyingkirkan percubaan artistik yang dianggap belum matang.
Contohnya dapat dilihat pada beberapa filem tahun ini yang lebih berani menyoal keadaan sosial, politik dan identiti nasional secara langsung.
Filem seperti Kahar (sekadar contoh, bukan calon unggul) menunjukkan potensi besar dalam membawa "suara" yang lebih kontemporari walaupun tidak sepenuhnya sempurna dari segi teknikal.
Namun, dalam kerangka penjurian FFM, keberanian semacam ini sering dilihat sebagai kelemahan, bukan kekuatan.
Krisis ini bukan unik kepada Malaysia. Ia pernah berlaku di Jepun, Korea Selatan dan Indonesia ketika mereka bergelut membentuk identiti sinematik sendiri.
Jepun, misalnya, melalui tempoh panjang filem konvensional pascaperang sebelum munculnya Rashomon (Akira Kurosawa, 1950) yang mengubah persepsi dunia terhadap sinema Jepun.
Korea Selatan pula hanya mula menembusi pasaran global apabila sutradara seperti Park Chan-wook dan Bong Joon-ho berani mengimbangi bentuk sinema arus perdana dengan komentar sosial tajam seperti Oldboy (2003) dan Parasite (2019).
Indonesia mengalami lonjakan serupa apabila filem-filem seperti Marlina si Pembunuh dalam Empat Babak (Mouly Surya, 2017) dan Autobiography (Makbul Mubarak, 2022) diberi ruang oleh festival antarabangsa kerana berani menggali identiti nasional dari sudut yang kompleks dan jujur.
Peralihan dalam ketiga-tiga negara itu tidak berlaku kerana perubahan ekonomi semata-mata, tetapi kerana keberanian institusi festival mereka untuk memposisikan diri sebagai platform pemilihan artistik dan bukan sekadar majlis penganugerahan industri.
Festival Busan, misalnya, membina reputasi dengan menyokong filem Asia yang bereksperimen – filem yang mungkin "belum siap secara industri" tetapi kuat dari segi visi dan konteks sosial.
Penjurian FFM, sebaliknya, masih terikat pada paradigma lama – penilaian teknikal dan naratif konvensional.
Selagi festival tidak berani menilai keberanian estetik sebagai kriteria utama, selagi itu kita akan kekal menghasilkan filem yang "baik" tetapi jarang "penting."
Dunia kini meraikan karya yang membawa risiko, naratif yang tidak mudah, bentuk yang mengganggu dan kejujuran sosial yang tajam.
Oleh itu, FFM perlu melalui reformasi epistemik – daripada festival yang menilai hasil kepada festival yang membentuk wacana sinema nasional yang terbuka dan progresif.
FFM34 telah membuktikan bahawa kita masih mampu menghasilkan filem yang kemas.
Tetapi persoalan sebenarnya bukan lagi siapa paling kemas, melainkan siapa paling jujur dan berani.
* Datuk Saniboey Mohd Ismail merupakan mantan wartawan hiburan dan pencinta filem. Kini, beliau aktif menulis skrip serta menerbitkan pelbagai drama dan filem tempatan.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


