ANT-MAN merupakan filem ke-12 dalam francais filem superhero dibawah jenama Marvel Cinematic Universe. Ant-Man juga bertindak selaku penutup fasa kedua siri filem itu yang bermula dengan Iron Man 3 pada tahun 2013.

Berlandaskan bajet USD130 juta, Ant-Man diarahkan oleh Peyton Reed yang sebelum ini popular menerusi karya-karyanya seperti Bring It On, The Break-Up dan Yes Man.

Latar ceritanya berlaku beberapa bulan selepas filem Avengers: Age of Ultron. Scott Lang (dilakonkan oleh Paul Rudd) merupakan seorang bekas pencuri yang mahu membawa hala tuju hidup baru dengan bantuan bekas adiwira dan saintis terkenal, Dr. Hank Pym (Michael Douglas).

Scott bertanggungjawab untuk melindungi misteri dan rahsia di sebalik teknologi Ant-Man dari bekas protégé Hank iaitu Darren Cross (Corey Stoll). Serum ciptaan Hank membenarkan penggunanya mengecilkan badan menerusi pemakaian sut khas namun pada masa yang sama menambah kekuatan diri.

Paul Rudd Ant-Man
Paul Rudd sebagai Scott Lang, bekas banduan yang berusaha untuk mengubah hala tuju hidup. Foto - Walt Disney Malaysia

Filem aksi sepanjang 117 minit ini menampilkan seleksi karekter-karekter baru dari siri komik Marvel dibawa ke layar perak. Antaranya seperti Hope van Dyne (Evangeline Lilly), supervillian Yellowjacket, Cassie Lang (Abby Ryder Fortson) dan lain-lain.

Kesinambungan dari siri filem-filem lain Marvel Cinematic Universe dapat dilihat menerusi kembalinya watak-watak seperti Howard Stark, Peggy Carter dan Sam Wilson/Falcon masing-masing dilakonkan oleh John Slattery, Hayley Atwell dan Anthony Mackie.

Para penonton mungkin sudah biasa dihidang dengan rendisi kesan khas dan imej janaan komputer (CGI) yang melampau tatkala menyaksikan filem aksi superhero.

Babak-babak seperti beberapa bangunan pencakar langit yang runtuh, puluhan kereta berterbangan dan sedutan letupan yang memusnahkan segalanya dilihat seakan satu kemestian.

Bahkan ada yang mula melabelkan babak-babak klise ini dengan filem adiwira yang diadaptasi dari buku komik.

Berlainan pula apabila Ant-Man boleh dilihat sebagai satu contoh yang baik sebagai sebuah filem perkenalan karekter baharu. Jalan cerita yang tidak terlalu berat dan kompleks memudahkan penonton memahami latar belakang watak titular yang diilhamkan oleh Stan Lee, Larry Lieber dan Jack Kirby ini.

Ant-Man transormasi
Transformasi saiz Ant-Man menjadi daya penarik selain mencorakkan kelainan di kalangan filem Marvel. Foto - Walt Disney Malaysia

Penambahan melodrama kekeluargaan antara Hank dan Hope serta Scott dan Cassie turut dilihat sebagai tunjang jalan cerita. Permainan dunia alam serangga adalah antara pembaharuan baharu yang bakal mengusik sifat ingin tahu penonton.

Kesan khas yang mengiringi transformasi Scott dari besar ke kecil sememangnya menarik perhatian sekaligus menjadi kunci kelainan dari filem-filem Marvel lain.

Filem Ant-Man berjaya mengasingkan sebahagian jalan ceritnya dari takuk formula klise filem-filem Marvel dengan penambahan elemen rompakan (heist).

Mungkin sesetengah berpendapat Ant-Man lebih sesuai dilabelkan sebagai filem komedi berbanding filem epik superhero lantaran tamparan unsur jenaka boleh dilihat hampir di keseluruhan cerita.

Biarpun masih mempunyai kekurangan, namun itu tidak menjadi masalah buat Disney dan Marvel yang sudah menjamin penerusan cereka ini pada keluaran seterusnya iaitu Captain Amerika: Civil War.

Barisan pelakon: Paul Rudd, Evangeline Lilly, Michael Douglas, Corey Stoll, Bobby Cannavale, Michael Peña, Tip "T.I." Harris, Wood Harris, Judy Greer dan David Dastmalchian.

Tayangan: 16 Julai 2015

Trailer: