‘Arwah Bad tak suka susahkan orang lain' - Waris

Sinar Harian
Oktober 27, 2023 09:53 MYT
Hafizal (duduk, kanan) merupakan waris terdekat kepada Allahyarham Badrul Izhan Yeop Abdullah atau Bad Indigo di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara pada Jumaat. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Penyanyi kumpulan Indigo, Badrul Izhan Yeop Abdullah atau lebih dikenali sebagai Bad Indigo disifatkan sebagai sosok yang tidak suka menyusahkan orang lain dan sentiasa berfikiran positif.
Waris terdekat, Hafizal Harun, 42, berkata, pihaknya mengetahui berita pemergian Allahyarham akibat serangan jantung itu selepas Isyak dan langsung bergegas ke tempat kerjanya di Ampang, Selangor.
Menurutnya, anggota Indigo yang popular dengan lagu Gadis Misteri tersebut menganggap kekurangannya sebagai orang kurang upaya (OKU) merupakan satu keistimewaan diberikan ALLAH SWT.
“Allahyarham pegang dengan kata-kata yang dia kalau boleh tak nak susahkan orang langsung, biar dia usaha sendiri. Apa yang dialaminya, segala kekuatan dan kepercayaan diserah bulat-bulat kepada ALLAH SWT.
“Kadang-kadang apabila kita diuji sikit pun sudah mengeluh, tapi Bad lain, sampaikan dia ubah perkataan OKU tu satu perkara istimewa yang ALLAH SWT beri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara, di sini, pada Jumaat.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 48 tahun, kira-kira 7 malam di tempat kerjanya di Ampang dan selamat disemadikan pada jam 2.50 petang.
Ditanya mengenai jasa terhadap keluarga, Hafizal memaklumkan, segala pengorbanan yang dilakukan oleh abang angkat yang sudah dikenalinya sejak 1999 itu tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.
“Saya kenal dia sejak zaman muda lagi, macam-macam yang dibuat, dia jaga saya sama seperti seorang adik kandung.
“Bad seorang yang bersifat melindungi dan saya sangat hargai, segala jasanya memang tak terbalas,” ujarnya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#Bad Indigo #meninggal dunia #serangan jantung #dikebumikan #OKU