KUALA LUMPUR : Anggota kumpulan Indigo, Bad, atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah meninggal dunia pada kira-kira jam 7 malam di tempat kerjanya di Ampang, Selangor.

Allahyarham mengehembuskan nafas terakhir pada usia 48 tahun.

Perkara itu disahkan oleh penyanyi Liza Hanim menerusi satu mesej suara kepada Astro AWANI. Liza Hanim merupakan isteri kepada Shah, iaitu salah seorang anggota kumpulan Indigo.

"Ya, betul. Saya masih tergamam ni. Baru sangat terjadi. Arwah meninggal di tempat kerjanya... (dipercayai) akibat serangan jantung.

"Jenazah masih di tempat kerjanya dan ahli keluarga semua sedang on the way ke sana. 

"Sekarang ni baru nak menguruskan apa-apa yang patut," ujar Liza yang telah bergegas ke lokasi bersama suaminya.

Sementara itu, pihak keluarga sedang menguruskan untuk membawa arwah ke Masjid Tun Abdul Aziz (Masjid Bulat) Seksyen 14 PJ untuk pengurusan jenazah.

"Insya-Allah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara esok selepas solat Jumaat.

"Mohon sesiapa yang membaca (berita ini) untuk sedekahkan al-Fatihah buat Allahyarham, dan doakan semoga semua urusan dipermudahkan," ujar wakil keluarga tersebut.

Kumpulan Indigo ditubuhkan pada tahun 1996 oleh KRU Records merupakan sebuah kumpulan penyanyi padu suara yang popular dengan membawakan lagu-lagu berentak R&B dan pop Melayu.

Selain Bad, kumpulan itu turut dianggotai Shah (Mohamed Shahrin Mohamed Samsudin), 
Zam (Shahrul Nizam Abdul Aziz) dan Shaz (Nor Shazman Nor Shahid).

Indigo telah diperkenalkan kepada pendengar muzik tempatan menerusi album pertama, Intro pada pertengahan tahun 1997. Mereka mula dikenali dengan lagu Suraya dan Gadis Misteri.

Bad pernah berkahwin dengan penyanyi Ashira Aziz pada awal tahun 2021, mereka berdua saling mengenali semasa menyertai Gegar Vaganza 2020. Namun perkahwinan itu hanya bertahan selama setahun apabila mereka mengumumkan perceraian pada bulan Jun 2022.