BERMULA 15 Disember ini, Pek Kanak-Kanak (Kids Pack) Astro akan diberikan nafas baharu dengan kemunculan dua saluran hiburan baharu, serta 10,000 episod On Demand, khas untuk kanak-kanak di Malaysia.

Menurut Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario, kemunculan dua saluran itu, Boomerang (Saluran 619) dan Nick Jr. (Saluran 617) bakal menambah seleksi program buat kanak-kanak dengan pelbagai rancangan menarik.

“Kami mengalu-alukan Boomerang (Saluran 619) dan Nick Jr. (Saluran 617) kepada anda dan ia akan menyertai Cartoon Network (Saluran 615 HD / Saluran 635) dan Nickelodean (Saluran 616 HD / Saluran 636) menerusi Pek Kanak-kanak, dan saluran-saluran ini akan dilengkapkan bersama Baby TV (Saluran 618), Astro Xiao Tai Yang (saluran 304 HD / saluran 344), Chutti TV (saluran 213), Astro Tutor TV (saluran 601 / Saluran 602 / Saluran 603), Astro TVIQ (Saluran 610), dan semestinya, jenama hiburan kanak-kanak Nombor Satu Malaysia, Astro Ceria (Saluran 611 HD / Saluran 631),” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Malah, kata Rozario, para pelanggan juga dapat menikmati lebih 10,000 episod hiburan dan pendidikan kanak-kanak berkualiti di Astro On Demand dan Astro GO seperti Upin & Ipin, Ejen Ali, SMK, Omar & Hana, Didi and Friends, We Bare Bears, SpongeBob SquarePants, Beyblade, Adventure Time, The Amazing World of Gumball, Ben 10, Bandanamu Kids Songs, The Five Elves, Motu Patlu dan banyak lagi.

Semua pelanggan Astro boleh menikmati sebuah saluran sementara (pop-up) baharu, FAMtv (Saluran 100) dari 15 Disember 2020.

FAMtv (Saluran 100) menyajikan hiburan untuk seisi keluarga termasuklah program-program kegemaran di Malaysia seperti Running Man, Mr. Bean, Doraemon, Phua Chu Kang, Crayon Sin Chan, Dexter’s Laboratory, Kampung Boy dan banyak lagi.

"Walaupun kami teruja dengan senarai kandungan kanak-kanak kami yang diberi nafas baharu ini, kami juga perlu memaklumkan bahawa pihak Disney telah mengumumkan kepada semua rakan kongsi di Asia Tenggara bahawa siaran Disney XD HD (Saluran 612) akan dihentikan pada 31 Disember 2020, jam 12 tengah malam.

“Dalam memberi nafas baharu kepada Pek Kanak-Kanak, siaran saluran-saluran Disney Channel HD (Saluran 614 HD / Saluran 634) dan Disney Junior HD (Saluran 613) juga akan dihentikan di rangkaian kami pada 31 Disember 2020, jam 12 tengah malam.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan di atas pemahaman mereka dan menyesali sebarang kesulitan yang berlaku," ujar Rozario.

"Astro akan terus meningkatkan tawaran hiburan dan pendidikan kanak-kanak kami dan tidak sabar untuk berkongsi program-program baharu yang hebat yang akan bermula pada 15 Disember ini," katanya.