LOS ANGELES: JAMIE Spears, bapa kepada Britney Spears, telah dilucutkan hak penjagaan selepas 13 tahun terhadap penyanyi terkenal itu.

Arahan itu dikeluarkan hakim Mahkamah Los Angeles dan berkuat kuasa Rabu.

Jun lalu, Britney yang juga bintang pop tersohor dunia memaklumkan kepada pihak pengadilan bahawa hak penjagaan tersebut yang bermula pada 2008 adalah memeritkan buat dirinya.

Malah, penyanyi tersebut turut memfailkan dokumen memohon agar bapanya itu disingkirkan hak sebagai penjaga terutama dari segi harta bernilai AS$60 juta.

Hakim Mahkamah Los Angeles, Brenda Penny berkata keadaan semasa tidak lagi sesuai dan ia memerlukan Jamie Spears dilucuthakkan berkuat kuasa Rabu.

Tambahnya, hak penjagaan aset penyanyi itu akan dijaga oleh seorang akauntan dilantik mahkamah buat sementara waktu.

Untuk rekod, Britney masih dibawah pengawasan profesional Jodi Montgomery yang menguruskan urusan perubatan dan peribadinya.

Sebelum ini masalah kesihatan mental penyanyi itu tidak pernah didedahkan secara terbuka.

Namun, kempen yang dijalankan oleh peminatnya menerusi #FreeBritney menuntut hak kebebasannya dari segi undang-undang telah membebaskan beliau daripada hak penjagan bapanya.