BOB LOKMAN meninggal dunia. Di Kelantan.

Begitu khabar duka yang diterima media sekitar pukul 2.51 petang, Jumaat nan mulia ini.

Al Fatihah, begitu khabar duka itu dibalas oleh para media.

Bagi generasi masa kini, Bob Lokman bukan siapa siapa, malah mungkin langsung tidak dikenali rupa dan sosoknya seperti apa.

Namun buat karyawan seni tanah air dari penikmat karya, pelawak hingga muzik, berpulangnya Allahyarham Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman umpama kehilangan emas permata.

Masakan tidak, untuk memperkenalkan Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 58 tahun, cukuplah kami sua dengan judul lagu Isabella yang ditulisnya sewaktu baru berumur 25 tahun dari kugiran rock tersohor, Search.

Ya, Isabella yang membawa Search terkenal sehingga ke Indonesia, itulah lagu yang ditulis liriknya oleh Allahyarham dengan Datuk M.Nasir sebagai ‘dalangnya’.

Sepanjang hayatnya, Bob Lokman memang begitu akrab sebagai penulis lirik bagi kugiran rock. Allahyarham malah diketahui telah menulis sekitar 350 lirik untuk penyanyi tanah air.

Selain Search, Wings dengan deretan lagu termasuk yang cukup fenomena, Taman Rashidah Utama dan Intan, Ku Kesepian, Allahyarham juga memercikkan magis dalam penulis lagu Warisan Wanita Terakhir nyanyian penyanyi dari Singapura, Teacher’s Pet.

Jika baktinya sebagai penulis lirik yang menzahirkan banyak maksud tersurat dan tersirat masih belum lagi membawa kalian mengenal siapa Bob Lokman, barangkali naskhah seperti Getaran yang ditayangkan pada tahun 2001 mengimbau anda kepada figura bertubuh gempal yang mesra dan mudah tersenyum ini.

Juga, bagaimana Allahyarham penuh dengan sikap humor namun begitu menyantuni rakan karyawan seni setiap kali dihadirkan sebagai juri dalam program realiti.

Namun, beberapa tahun kebelakangan, seiring faktor usia meningkat, Allahyarham tidak begitu aktif dalam dunia seni berikutan beberapa komplikasi dan penyakit.

Pada 8 April lalu, Bob Lokman dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Rawatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Sasmec@IIUM) di Kuantan, Pahang kerana mengalami masalah cepat penat.

Pada 21 April lalu, Allahyarham berpindah ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.

amun, akibat kekangan kewangan dialami, beliau hanya mendapatkan rawatan selama tiga hari di IJN dan keluar dari hospital serta balik ke Kelantan pada 24 April lalu.

Sebelum ini, beliau menjalani pembedahan memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) untuk menstabilkan denyutan jantungnya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, pada awal Disember 2020.

Berpulangnya Mohd Hakim Lokman dan mahu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Hilir Kubang Kerian pada 23 September 2022, di hari Jumaat meninggalkan banyak memori dan kedukaan bukan sahaja kepada balu, Relawati Daud dan tujuh cahaya mata serta seluruh orang yang mengenalinya.

Seorang pejuang seni tempatan yang pada akhir hayatnya berjuang dengan komplikasi kesihatan namun seperti katanya dalam satu temu bual pada Julai 2022:

“Saya mahu tenang tenang sahaja dan positif dengan penyakit ini.

“Semua rawatan doktor telah saya lakukan. Tapi Allah maha mengetahui.

“Dalam hidup ini, semua orang akan mati jua.”

Begitu Bob Lokman, sang genius yang pernah lahir dalam belantika muzik tempatan dan menjadi pesohor seni menerima takdir hidupnya.

Semoga damai dan tenang di sana, Allahyarham Bob Lokman. Al Fatihah dan salam takziah buat seluruh keluarga. -Gempak