SALURAN YouTube studio animasi Les’ Copaque Production berjaya mencecah 10 juta pelanggan (subscribers) pada petang Khamis sekaligus menjadikan saluran YouTube syarikat itu sebagai yang pertama dari Malaysia mencapai kejayaan itu.

Dengan pencapaian itu, saluran itu layak menerima anugerah “Diamond Play Button” dari YouTube selepas sebelum ini menerima anugerah “Gold Play Button” untuk satu juta pelanggan dan “Silver Play Button” untuk 100,000 pelanggan.

Menerusi satu kenyataan, syarikat produksi animasi itu memaklumkan sehingga Februari 2020, hanya 566 saluran dari seluruh dunia yang telah mencapai 10 juta pelanggan.

“Pencapaian ini merupakan sesuatu yang luar biasa, bagi pihak syarikat, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat yang telah menyokong kami sekian lama dan turut sama membantu mencapai kejayaan ini.

“Syabas dan tahniah kepada unit produksi Les' Copaque Production yang berjaya menghasilkan karya bermutu dan diminati ramai.

“Untuk semua rakan penyiar dan media kami mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan padu yang diberikan selama ini,” menurut kenyataan itu.

Saluran yang diwujudkan pada tahun 2009 itu memaparkan pelbagai harta intelek hasil keluaran syarikat ini seperti Upin & Ipin, Puteri, Pada Zaman Dahulu, DaDuDiDo dan yang terkini siri baharu berbahasa Inggeris bertajuk "Upin & Ipin The Helping Heroes".

Sehingga kini, saluran Les’ Copaque telah mencecah tontonan lebih 4 bilion.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu lagi, video permintaan maaf Fizi, salah seorang karakter dalam Upin & Ipin yang tular baru-baru ini mencapai 19 juta tontonan hanya dalam tempoh seminggu.

BACA: 'Tak ada ibu, tak ada syurga?' Akhirnya Fizi minta maaf

“Melalui episod Syahdunya Syawal telah menimbulkan perbualan hangat di media sosial kerana kata-kata kontroversi dari salah satu karakternya bernama Fizi.

“Pihak produksi telah mengambil kesempatan itu, menghasilkan video permohonan maaf dari Fizi yang mencapai 19 juta tontonan hanya dalam tempoh seminggu.

“Pencapaian ini merupakan sesuatu yang luar biasa, bagi pihak syarikat, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat yang telah menyokong kami sekian lama dan turut sama membantu mencapai kejayaan ini,” katanya.