KUALA LUMPUR: Pemain skuasy negara S. Sivasangari menewaskan pemain Mesir Farida Mohamed untuk menempah slot ke separuh akhir acara perseorangan wanita pada kejohanan Terbuka China 2026 di Shanghai Xian Xia Tennis Centre hari ini.
Sivasangari yang turun selaku pemain pilihan utama kejohanan hanya memerlukan tiga permainan untuk menundukkan pemain pilihan kelapan berkenaan dengan kemenangan 11-6, 11-7, 11-6.
Kemenangan itu mencerahkan peluang Sivasangari untuk memburu gelaran selepas beliau melangkah ke kelompok empat pemain terbaik kejohanan bertaraf Emas Persatuan Skuasy Profesional (PSA) itu.
Sivasangari akan berdepan sama ada pemain Hong Kong Sin Yuk Chan atau pemain pilihan ketujuh dari Mesir Sana Ibrahim pada aksi separuh akhir esok.
Perlawanan itu dijadualkan berlangsung pada 8 malam waktu tempatan.
-- BERNAMA