IPOH: Lebih 200 petugas barisan hadapan diraikan menerusi tayangan perdana filem Juang bersempena Majlis Menghargai Jasa Hero-Hero Malaysia di Golden Screen Cinema (GSC), Ipoh Parade, di sini malam tadi.

Kesemua mereka yang hadir merupakan petugas barisan hadapan seperti polis, bomba, Rela, pasukan perubatan serta tidak terkecuali pengamal media.

Frontliners yang hadir pada majlis tayangan perdana Juang. - Foto Astro AWANI

Kemeriahan majlis itu diserikan lagi dengan kehadiran pengarah dan para pelakon seperti Jack Lim, Matt Lai, Aziz M Osman, Sangeeta Krishnasamy, Sein Ruffedge serta Fred Chong.

Filem itu antara lain mengetengahkan situasi dan cabaran getir khususnya kepada petugas barisan hadapan atau fronliners ketika COVID-19 mula-mula 'menyerang' dunia.

Mesej yang ingin disampaikan ialah kerjasama dan kejayaan orang ramai mengharungi detik-detik sukar seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan risiko virus yang meragut ramai nyawa.

Aziz M Osman berucap sepatah dua kata sebelum filem ditayangkan. - Foto Astro AWANI

Menurut Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, majlis itu dianjurkan oleh Pincer MBI Studio Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Pincer MBI Studio Sdn Bhd menjadi salah satu rakan strategik yang berperanan dalam pelaburan dan promosi filem berkenaan.

Rumaizi yang juga merangkap Pengerusi Pincer MBI Studio Sdn Bhd berkata, majlis itu khusus untuk memberikan penghargaan kepada mereka yang bertungkus lumus sejak tahun 2020 hingga sekarang.

"Seperti yang dikatakan oleh salah seorang pengarah filem ini, Aziz M Osman iaitu filem ini boleh dijadikan rujukan untuk anak cucu kita nanti lihat apa sejarah penting yang berlaku kepada negara.

"Mereka tonton filem Juang, mereka dapat lihat perjuangan rakyat Malaysia mengharungi pandemik COVID-19.

"Fokus filem ini sebenarnya banyak hubung kait dengan perpaduan kaum. Bila berlaku pandemik ini, seluruh rakyat Malaysia kena bersatu dan harungi bersama-sama," katanya lagi.

Frontliners yang hadir pada majlis tayangan perdana Juang. - Foto Astro AWANI

Beliau berharap majlis itu akan menjadi platform tanda penghargaan rakyat Malaysia terhadap jasa dan frontliners pada fasa pandemik dan endemik.

Sebelum ini media melaporkan, inspirasi melahirkan karya hebat tersebut bermula daripada perspektif lima sutradara tersohor, Aziz M Osman, Datuk Yusry Abd Halim, Matt Lai, Kabir Bhatia dan Osman Ali sebagai penghormatan kepada frontliners di Malaysia.