PENYANYI dan penerbit Datuk Awie menyifatkan hari raya Aidiladha ini bakal menjadi satu sambutan yang terindah buatnya kerana selepas lapan tahun akhirnya hajatnya untuk bertemu kembali dengan dua anak iaitu Putra Ahmad Rezzki, 15, dan Puteri Qasseh Atasha, 13 bakal tercapai.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 54, memberitahu Gempak dia teruja untuk membawa anaknya keluar bersama-sama.

"Raya Haji tahun ini mungkin saya dapat berjumpa dengan dua anak saya yang sudah terpisah lapan tahun lalu.

"Mungkin ini akan menjadi Raya Haji yang bermakna untuk saya. Ikut perjanjian pada Aidiladha ini. Saya sangat teruja untuk momen itu, harap-harapnya dapatlah.

"Ke mana nak dibawa berjalan masih belum tahu lagi. Jika diberikan peluang untuk bawa keluar saya akan bawa anak-anak itu keluar.

"Sekiranya tidak dibenarkan, dapat datang melawat di rumah sahaja seharian itu. Dapat tengok setengah hari pun cukuplah," jelasnya.

Awie berkata demikian ketika ditemui pada malam gala tayangan filem terbitannya berjudul Sue-On yang diadakan di Starling Mall, pada Selasa.

Selain Awie, filem seram Jepun, Sue-On yang bakal ditayangkan seluruh pawagam Malaysia mulai 6 Julai ini turut dibintangi oleh Reen Rahim, Ropie, Azlee Senario, Nazia Mustafar, Achey, Shawani dan ramai lagi.

Berkongsi mengenai bagaimana detik permulaan mereka mula berkomunikasi, vokalis kumpulan Wings itu berkata dia menerima mesej pesanan ringkas daripada Qasseh selepas pulang mengerjakan ibadah Umrah, pada Ramadan lalu.

"Selama lapan tahun langsung tak pernah berhubung. Ada suatu hari anak saya yang perempuan, Qasseh telah hantar mesej kepada saya.

"Tetapi sebelum itu, waktu saya berada di Makkah ketika bulan Ramadan. Saya ada berdoa di sana dan kemudian balik ke Malaysia saya dapat mesej tersebut, berderai airmata saya," katanya lagi.

Diminta berkongsi perkataan pertama yang diucapkan dalam mesej tersebut, Awie berkata anaknya meluahkan rasa rindu serta sayang kepada dirinya.

"Assalamualaikum daddy, ini Qasseh. Saya sayang dan rindu daddy sangat-sangat," ujarnya lagi.

Untuk info, Putra Ahmad Rezzki dan Puteri Qasseh Atasha merupakan anak daripada hasil perkahwinan terdahulu Awie bersama bekas isteri Rozana Misbun.

Selain Rezzki dan Qasseh, mereka juga mempunyai seorang lagi cahaya mata bernama Putra Ahmad Merrah.

Imbas kembali, Awie dan Rozana mendirikan rumah tangga pada 20 Jun 2005 dan disahkan bercerai pada 1 November 2014. -- Gempak