KUALA LUMPUR: Sebuah lokasi di Bukit Jalil, tepatnya di Axiata Arena, Kuala Lumpur berjaya mengumpulkan sekitar 18,000 jiwa dan hati dalam satu gelombang.

Gelombang dalam radar rindu untuk bernyanyi bersama kumpulan pujaan mereka, lebih tepat lagi – kumpulan lengkap mereka mempersembahkan lagu-lagu mereka atas nama ulang tahun kebersamaan.

Dewa 19 mempunyai kuasa itu. Kuasa menyatukan sama ada mereka yang bangga digelar Baladewa dan Baladewi atau selebihnya memang cukup sekadar mahu dikenali seagai penggemar karya-karya Ahmad Dhani dan falsafahnya.

Atas kredit nama apa pun, mereka punya satu tujuan untuk melepaskan suara mereka sekuat mungkin atas dasar rindu.

Rindu kerana pada tahun 2019 lalu, kumpulan ini tidak lengkap berdendang bersama kerana maestro atau sifu kesayangan mereka terpaksa akur dengan keputusan undang-undang.

Lalu 36 lagu dilantunkan pada malam pertama, 9 September 2022 dan 33 buah lagu diperdengarkan pada 10 September dalam senarai lagu yang ditukar sekitar 10 peratus pada malam kedua untuk kepuasan pendengar.



Baik Virzha mahu pun Ello sebagai wajah baru dalam penyatuan nama Dewa 19 telah menyapa tepat ke hati dan mata pendengar Malaysia.

Kemunculan mereka diterima baik membawakan lagu-lagu legenda Dewa 19 dari album terawal.

Restoe Boemi seperti biasanya menjadi antem pembuka sebuah konsert yang ditunggu-tunggu ramai malah menjadi bual bicara khalayak dan juga para akademi dari pelbagai cabang.

Ahmad Dhani dengan askar-askar Dewa 19 dari himpunan tahun 1991 ke 2007 iaitu Ari Lasso, Once, Tyo Nugros, Yuke Sampurna, Andra Ramadhan  dan Agung Yudha memang menjadi dewa hati malam bersejarah tersebut.

Bagi sebahagian ramai penonton konsert malam itu, inilah momen lengkap mereka bersama Dewa 19 yang datang dalam formasi album Dewa 19, Format Masa Depan hinggalah ke formasi Bintang Lima sehingga Kerajaan Cinta.



Ditambah dengan dua vokalis ‘ganteng’ yang hanya tidak bersandarkan rupa, setiap lagu dinyanyikan dengan penuh penghayatan dan perasaan malam tersebut.

Malah rata-rata yang sudah mengikuti rangkaian konsert Dewa 19 di Malaysia merasakan konsert yang dibawakan oleh Icon Entertainment tersebut merupakan konsert Dewa 19 yang terbaik pernah dilaksanakan di Malaysia.

Dari sudut sistem bunyi, visual sehinggalah ke pemilihan repertoire, tepat melekat ke hati dan sanubari khalayak dan masih menjadi perbualan ramai walau sudah beberapa hari larut dibawa momen dan kenangan.

Tiada yang’terpaling Dewa’ malam itu kerana rata-rata yang datang bukan sekadar rasa cinta dan antusias yang tinggi terhadap kumpulan dan lagu-lagu penghasilan mereka.



Mereka yang hadir juga datang dengan momen tersendiri bagaimana membesar bersama lagu-lagu Dewa 19 tersebut dan mengutip kembali kenangan-kenangan dulu yang mungkin tertinggal di ruangan bawah sedar.

Saat jatuh cinta denga lagu Cinta ‘kan Membawamu Kembali serta Kangen, saat terbakar cemburu dengan lagu Cemburu, saat patah hati dengan lagu Larut, saat bertepuk sebelah tangan dengan lagu Pupus malah saat mengahadapi kejamnya dengan sepak terajang dunia dengan lagu Hadapi Dengan Senyuman.

Semua dirangkumi dalam satu malam dan perjalanannya.

Yang tua terasa muda dan yang muda semakin mengenali yang Dewa 19 sebelum hadirnya Once, memliki seorang vokalis dengan suara  mantap iaitu Ari Lasso.

Semua itu bukan sahaja menjadikan kenangan baharu buat penonton tetapi juga pembelajaran buat yang masih mentah mengenali Dewa 19 dan keberadaannya.

Sebuah konsert yang hadir dengan pakej yang lengkap untuk menusuk setiap jiwa dan pancaindera yang melihat, Dewa 19 sentiasa punya tempat tersendiri di hati peminat Malaysia.

Dan itulah ajaibnya sekuntum rindu.