57 mangsa tanah runtuh di Bandung Barat dikenal pasti, operasi SAR diteruskan

Tanah runtuh melanda Kampung Pasirlangu kira-kira pukul 2.30 pagi pada 24 Jan lepas, susulan hujan lebat yang berterusan. - Gambar fail/Reuters
JAKARTA: Sejumlah 57 mayat mangsa tragedi tanah runtuh di Wilayah Bandung Barat, Jawa Barat telah dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing.
Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Abdul Muhari berkata sehingga 4 petang Ahad, sebanyak 74 beg mayat telah dihantar untuk proses pengecaman, dengan 17 lagi masih dalam proses identifikasi.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan hari ini, Isnin bermula pukul 8 pagi. Pasukan SAR gabungan telah meningkatkan penggunaan jentera berat bagi meluaskan kawasan pencarian enam lagi mangsa yang masih dilaporkan hilang.
"Sekurang-kurangnya 18 unit jentera berat telah dikerahkan dalam operasi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tanah runtuh melanda Kampung Pasirlangu kira-kira pukul 2.30 pagi pada 24 Jan lepas, susulan hujan lebat yang berterusan sehingga menimbus beberapa kawasan kediaman.
Abdul Muhari berkata operasi SAR itu melibatkan seramai 3,229 petugas.
Berdasarkan data awal dan kemas kini terbaharu, beliau memaklumkan seramai 517 mangsa yang dipindahkan telah pulang ke rumah masing-masing, manakala 159 lagi masih berada di pusat pemindahan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


