LONDON:Sebuah dokumentari terbitan BBC berjudul 'Royal Family' yang diharamkan oleh Ratu Elizabeth II untuk tayangan, bocor dalam laman YouTube.

Dokumentari berkenaan yang memaparkan kehidupan keluarga Diraja Britain telah diharamkan tayangan sejak 1970-an lagi kerana memberikan pandangan yang terlalu intim buat orang ramai. 

Menurut laporan CNN, Royal Family pernah mendapat jutaan tontonan ketika ia pertama kali disiarkan di BBC pada era 60-an.

Walaupun begitu, ia kemudiannya disimpan sebagai arkib di atas permintaan pihak Istana Buckingham dan tidak disiarkan sejak itu.

Namun, kandungan dokumentari itu dibocorkan baru-baru ini oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Persoalan bagaimana individu berkenaan memperolehinya masih menjadi tanda tanya.

Video berkenaan kini dilaporkan telah diturunkan dari platform berkenaan setelah permohonan hak cipta dibuat.

Antara adegan kontroversi di dalam filem itu, ahli keluarga Diraja Britain dikatakan membandingkan duta besar Amerika Syarikat (AS) dengan seekor gorila.

"Ada seekor gorila. Saya mengalami masalah yang paling dahsyat ... dia mempunyai badan pendek, lengan panjang," lapor agensi berita PA Media.

Adegan sensitif lain termasuk menunjukkan para bangsawan meluangkan masa bersama dan Ratu Elizabeth II dikatakan mengeluarkan dompet untuk membeli gula-gula untuk Putera Edward yang berusia enam tahun ketika itu.

Filem berdurasi 110 minit itu telah ditonton lebih 30 juta orang pada tahun 1969, dan menjadi salah satu siaran televisyen yang paling banyak ditonton di United Kingdom.

Manakala, BBC pula menganggarkan lebih daripada 350 juta orang menonton Royal Family di seluruh dunia.

Mengulas mengenai perkara ini, jurucakap BBC enggan memberikan kenyataan berhubung kemunculan semula dokumentari itu secara tiba-tiba. Namun, mengesahkan bahawa pihak mereka telah mengemukakan tuntutan hak cipta bagi menurunkan video berkenaan dari platform YouTube.

"Apabila tuntutan hak cipta diajukan, kami segera menghapus kandungan tersebut, sama seperti situasi muat naik (dokumentari) ini," kata YouTube kepada CNN.