ENTERTAINMENT
Eda Ezrin, suami dan empat rakan ditahan sebulan lagi di penjara

Penyanyi Bea Sobar Bea, Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan ditahan sebulan lagi di Penjara Wilayah Narathiwat. - Sinar Harian
NARATHIWAT: Penyanyi Bea Sobar Bea, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, atau Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan ditahan sebulan lagi di Penjara Wilayah Narathiwat di sini.
Ringkasan AI
- Penyanyi Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan ditahan sebulan lagi di Penjara Wilayah Narathiwat, selepas Mahkamah Wilayah Narathiwat membenarkan permohonan pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan terhadap pembebasan mereka.
- Pendakwa raya memberi alasan masih mengumpul bukti dan saksi baharu, dengan kemungkinan lanjutan tempoh sehingga 6 Julai sebelum rayuan rasmi dikemukakan.
- Eda Ezrin dan rakan-rakan sebelum ini dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil methamphetamine, tetapi masih perlu kekal dalam tahanan sementara menunggu keputusan rayuan pendakwaan.
Jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat berkata, mahkamah telah membenarkan permohonan pendakwa raya yang dibuat pagi Jumaat.
“Permohonan pertama bagi melanjutkan tempoh memfailkan rayuan sepatutnya tamat Selasa depan (6 Mei). Bagaimanapun, pendakwa raya telah mengemukakan permohonan kedua melanjutkan tempoh memfailkan rayuan pagi semalam.
“Tempoh lanjutan kedua itu selama sebulan dan akan berakhir 6 Jun depan. Pendakwa raya boleh mengemukakan permohonan kali ketiga iaitu yang terakhir yang tamat tempoh pada 6 Julai, sebelum memfailkan rayuan rasmi,” katanya.
Menurut jurucakap itu, pendakwa raya memberi alasan masih berusaha mengumpul bukti dan saksi baharu untuk proses rayuan seterusnya.
Sinar Harian 6 April lalu melaporkan, Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan terpaksa tinggal di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat di sini sekurang-kurangnya sebulan lagi bermula Ahad.
Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Wilayah Narathiwat menerima permohonan dan memberi kebenaran kepada Pendakwa Raya Wilayah untuk melanjutkan tempoh mengemukakan permohonan rayuan berhubung pembebasan kesemua individu tersebut.
Terdahulu, Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan mereka terlepas daripada hukuman penjara selepas dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda yang ditemukan di dalam sebuah bilik hotel di Golok pada 1 November lalu.
Keputusan itu dibuat oleh dua panel hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan dalam prosiding sebutan semula kes yang berlangsung pada 11, 13 dan 14 Februari lalu.
Bagaimanapun, meskipun dibebaskan daripada tuduhan tersebut, Eda Ezrin, suami serta empat rakannya tetap perlu kembali ke Penjara Pusat Wilayah Narathiwat bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.
Peguam bela yang mewakili Eda Ezrin, Sufian Abdul Aziz, berkata, pendakwa raya boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh satu hingga empat bulan. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami