[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
ENTERTAINMENT

Edika Yusof sah ceraikan isteri

Sinar Harian 05/05/2025 | 03:05 MYT
Edika Yusof sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Pelakon, Edika Yusof yang meruntun hati peminatnya kerana menjaga isteri lumpuh selama 19 tahun, sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Selepas prosiding, mahkamah merekodkan lafaz talak pada jam 10.42 pagi oleh Edika, 58, atau nama sebenarnya, Mohd Yusof Abd Majid terhadap Nor Hidayah Yusri, 47, di hadapan Hakim Syarie, Syed Muhammad Syahadi Syed Siksh.
Terdahulu, pelakon era 90-an itu bersetuju untuk melafazkan talak selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai oleh Nor Hidayah selaku plaintif.
Selesai menjatuhkan talak, Edika kelihatan sugul, sementara Nor Hidayah yang berkerusi roda mengalirkan air mata sebelum keluar dari kamar mahkamah.
Hakim Syarie kemudian mengesahkan perceraian mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.
Beliau mensabitkan berlakunya perceraian dan memerintahkan wanita itu menjalani tempoh idah selama tiga kali suci serta mendaftarkan perpisahan berkenaan.
Hakim Syarie: Tempoh perkahwinan antara defendan dan plaintif melebihi 20 tahun. Ia bukan tempoh yang singkat. Jika ada sebarang perkara yang ingin disampaikan, silakan.
Edika: Saya menjaga isteri selama 19 tahun dan tidak pernah lari daripada tanggungjawab sebagai suami, malah, saya menyara semua perbelanjaan rawatan, keperluan peribadi dan kebajikannya dengan penuh kesabaran.
Nor Hidayah: Saya membuat keputusan ini berdasarkan hukum, tetapi jika perkara ini melibatkan hukum agama, saya terpaksa buat. Saya harap dia faham.
Hakim Syarie: Mahkamah merekodkan ucapan terakhir kalian. Adakah kalian ingin bersalaman memohon keampunan antara satu sama lain buat kali terakhir?
Pasangan itu kemudian bersalaman, dengan Nor Hidayah membalas ciuman di tangan Edika.
Dalam prosiding ini, pelakon filem ‘Maria Mariana’ itu hadir tanpa peguam, sementara isterinya diwakili peguam syarie, Mohd Yazid Hazim.
Sebelum ini, lafaz cerai yang sepatutnya dibuat Edika ditangguhkan kerana isterinya berada dalam keadaan tidak suci.
Pada 23 April lalu, Edika mengaku akur dan reda dengan permintaan Nor Hidayah untuk menamatkan perkahwinan yang dibina lebih dua dekad selepas ibu kepada tiga anak itu memfailkan permohonan cerai pada Februari lalu.
Mereka mendirikan rumah tangga pada 16 Januari 2004 dan dikurniakan sepasang cahaya mata.
Nor Hidayah turut mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu.
Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Edika berkata, biarpun telah berpisah, dia akan cuba menjadi sahabat yang baik kepada bekas isterinya demi anak-anak.
“Kalaulah ditakdirkan ada jodoh lagi, kita tak tahu kerana semuanya di tangan ALLAH, kita hanya berusaha,” katanya.
BACA: 'Isteri Edika Yusof ada 10 sebab mahu bercerai - Peguam
BACA: 'Apa yang dituduh kepada saya sangat keterlaluan' - Edika Yusof
BACA: Edika Yusof sudah banyak kali lafaz talak - Isteri
Beliau yang kini bergelar ahli perniagaan turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan permohonan cerai itu dibuat kerana isu keganasan rumah tangga.
Katanya, jika perkara itu berlaku, bekas isterinya pasti membuat laporan polis tanpa perlu melalui proses perceraian di mahkamah.
Nor Hidayah pula berkata, walau apa sahaja penafian dibuat bekas suaminya, namun dia menyimpan semua bukti dalam bentuk gambar, video dan rakaman suara.
“Dia mengaitkan saya mengalami masalah mental sehingga sanggup membuat keputusan ini.
“Kalau sakit mental, takkan saya ke mahkamah dan fikir tentang hukum agama, lebih baik saya diam sahaja,” katanya.
- Sinar Harian
#Edika Yusof #cerai #mahkamah syariah #lafaz talak