KUALA LUMPUR: Penganjuran Festival Filem China 2022 yang pertama kali diadakan di Malaysia, merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia dan China dalam meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara menerusi industri perfileman.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata festival empat hari bermula semalam itu, bukan sahaja menjadi platform kepada pembuat dan penerbit filem kedua-dua negara untuk saling bertukar idea, tetapi juga bagi mengenal pasti peluang kerjasama dalam membangunkan industri perfileman.

"2022, menandakan ulang tahun ke-48 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. Hubungan Malaysia-China adalah penting, bukan sahaja atas sebab ekonomi tetapi juga atas inisiatif budaya, kreativiti dan inovasi yang menjadi persamaan dan juga komunikasi silang budaya.

"Saya percaya festival filem ini akan menjadi platform penting bagi kedua-dua pihak untuk meningkatkan persefahaman dan persahabatan antara rakyat dengan rakyat dan antara Malaysia dan China," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis perasmian Festival Filem China 2022 di sini, semalam. 

Zahidi berkata kementerian akan terus komited untuk memberi sokongan kepada bakat kreatif tempatan dan memastikan mereka dapat menembusi pasaran perfileman antarabangsa.

"Malam ini, majlis perasmian akan menyaksikan tayangan filem 'On Your Mark', yang diarahkan pembuat filem Malaysia-Cina Chiu Keng Guan. Filem ini telah memperoleh RM8.7 juta pada hari pembukaannya, dan terus mengumpul lebih RM24 juta dalam tempoh dua hari seterusnya dan menjadi filem nombor satu di China pada hari pembukaannya.

"Saya amat bangga kerana sebuah filem terbitan Malaysia menerima perhatian sebegitu di China. Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional membantu industri perfileman Malaysia dan mengalu-alukan semua syarikat produksi asing, khususnya dari China, untuk melakukan penggambaran di Malaysia," katanya.

Sepanjang Festival Filem China 2022 yang dianjurkan Pusat Kebudayaan China Kuala Lumpur itu, sebanyak 20 filem yang terdiri daripada 18 filem dari China dan dua lagi dari Malaysia akan ditayangkan di DADI Cinema Pavilion Kuala Lumpur.

-- BERNAMA