Filem 'Pangku': Dilema hidup wanita, terlalu kompleks dinilai kamus moral kini dinobat di FFI

Reza Rahadian merangkul anugerah Filem Terbaik dalam FFI 2025 menerusi karya sinematik, Pangku. - Tangkapan layar dari YouTube FFI
KUALA LUMPUR: Pengarah dan pelakon tersohor Indonesia, Reza Rahadian berjaya merangkul anugerah Filem Terbaik dalam Festival Filem Indonesia (FFI) 2025 menerusi karya, Pangku.
Pangku yang merupakan filem pertama arahan Reza mengisahkan kehidupan seorang ibu tunggal melihat dirinya bergelut antara dilema moral dalam kesempitan hidup untuk menyara keluarga.
Naratif yang realistik dalam penceritaan filem lakonan Claresta Taufan, Fedi Nuril dan Christine Hakim berjaya menambat hati juri untuk dinobatkan filem terbaik di festival filem berprestij yang berlangsung di Teater Jakarta, Taman Ismail Marzuki, Jakarta pada Khamis.
Jelas Reza, Pangku dihasilkan dengan prinsip tidak memaksa emosi penonton, bermakna tiada elemen dramatik yang keterlaluan dalam menjadikan karya itu satu jendela untuk menjengah kehidupan yang sebenar.

Reza Rahadian beremosi ketika menerima Anugerah Filem Terbaik dalam Festival Filem Indonesia (FFI) 2025 untuk karya sentuhan beliau, Pangku.
"Ada cadangan supaya babak tertentu ditambah unsur dramatik agar lebih mengharukan. Tetapi saya menegaskan tidak, saya tidak mahu mengarah perasaan penonton. Biarkan mereka merasai apa yang mereka rasakan sendiri.
Reza, 38, yang dikenali menerusi beberapa filem box-office di Indonesia termasuk Habibie & Ainun, Rudy Habibie dan Tenggelamnya Kapal Van de Wijck begitu terharu lalu mengalirkan airmata dalam ucapannya ketika majlis penganugerahan itu.
"Saya menekankan realisme dalam setiap babak filem ini. Saya terlibat secara langsung dari sudut visual, sudut kamera dan ruang. Saya masih mencari identiti sebagai pengarah, tetapi mungkin inilah diri saya.
"Saya ketika mengarah juga berpegang dengan panduan, 'show, not teling' iaitu mengurangkan dialog dan membiarkan bahasa tubuh atau seni lensa untuk menyampaikan penceritaan," ujar Reza.
Sementara itu, Claresta yang memegang watak utama dan bertanggungjawab menggalas keseluruhan plot mengenai nilai keibuan dan kewanitaan dalan ucapannya, berkata watak Sartika dihidupkan ketika menelusuri jerih perih kehidupan sebagai ibu tunggal membesarkan anak lelakinya.

Detik mencairkan hati Reza Rahadian apabila filem garapannya mendapat pengiktirafan terulung di Indonesia.
"Sartika berhijrah ke Jalur Pantura untuk memulakan kehidupan baharu, di situ dia bekerja di sebuah warung kopi 'istimewa', iaitu pelayan menyajikan minuman dan pada waktu sama duduk di pangkuan pelanggan lelaki.
"Inilah dilema moral wanita. Tiada betul atau salah. Saya berpeluang bertemu wanita-wanita seperti Sartika di Jalur Pantura agar dapat melihat kehidupan dari kaca mata mereka sendiri.
"Saya belajar bahawa bagi sesetengah wanita, hidup terlalu kompleks untuk dinilai dengan kamus moral biasa. Mereka tidak merungut, tidak menyalahkan keadaan dan tidak menyalahkan sesiapa.
"Mereka fokus mengalas perut pada hari ini. Untuk dapat memikirkan tentang hari esok adalah satu keistimewaan, suatu benda yang ramai antara kita ambil enteng," kata Claresta.
Sebelum ini, Pangku juga menerima pengiktirafan antarabangsa termasuk di Busan International Film Festival (BIFF) pada September 2025, empat kategori anugerah dibawa pulang iaitu KB Vision Audience Award, Fipresci Award, Central Asia Cinema Award dan Face of the Future Award.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


