FILEM seram pertama dinobatkan sebagai pemenang Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-7 (FFM7) dan membolot tujuh anugerah dalam kategori lain pada tahun 1987 iaitu "Rahsia' bakal tampil semula dengan versi reboot.

"Rahsia", sebuah filem seram ikonik arahan Othman Hafsham telah berjaya melakar fenomena suatu masa dulu sekali gus mengangkat beliau sebagai Pengarah Terbaik FFM7.

Legasinya kini diteruskan oleh anaknya, Shamyl Othman yang diberi kepercayaan untuk mengarahkan filem reboot "Rahsia".

Shamyl sebelum ini menghasilkan filem kegemaran ramai "Kami Histeria" dan drama bersiri "Kau VS Aku".

Manakala skrip pula dihasilkan oleh creator drama premium "One Cent Thief", Alfie Palermo.

Menurut Penerbit Eksekutif "Rahsia" merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, pihaknya memilih "Rahsia" kerana filem tersebut adalah sebuah karya ‘cult classic’ yang mempunyai pengikutnya tersendiri.

“Selepas filem aksi Polis Evo 3, Astro Shaw bakal mempersembahkan sebuah lagi filem terbaru dengan genre seram iaitu 'Rahsia'.

“Ini merupakan julung-julung kali filem seram tempatan dikembalikan semula dalam versi reboot.

“Kejayaannya dalam melakar fenomena pada tahun 1987 bukan sekadar memberi impak pada penonton, tetapi juga pada landskap industri perfileman negara apabila menjadi filem seram pertama yang diangkat sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia.

“Bahkan kami percaya jalan ceritanya juga masih relevan sehingga kini. Mungkin ada generasi baru tidak begitu mengetahui tentang filem 'Rahsia' 1987.

“Jadi kami berharap kehadiran versi reboot ini dapat mencipta satu lagi sejarah baru. Apatah lagi filem tempatan jarang diangkat untuk dijadikan filem reboot berbanding filem-filem dari negara luar.

“Kami tidak berniat untuk menyaingi filem yang asal tetapi ini adalah satu bentuk penghargaan terhadap karya-karya terbaik Malaysia dan kami berusaha untuk tidak mengecewakan penggemarnya,” katanya.

Seperti versi asal "Rahsia" yang membariskan pelakon terkenal negara, versi reboot turut menampilkan wajah-wajah popular.

Watak Ramlah yang dijayakan oleh Noor Kumalasari, kini dilakonkan oleh Nabila Huda. Manakala, watak Hamdan oleh Shukery Hashim digerakkan oleh Fikry Ibrahim.

Barisan pelakon lain termasuk Eman Manan, Marsha Milan, Rashidi Ishak, Qistina Raisah, Syed Ali Murtadha, Mislina Mustaffa, Aloy Paradoks serta Nabil Zakaria di samping penampilan istimewa Othman Hafsham dan Susan Lankester.

"Rahsia" membawa tagline "Dia Takkan Pergi" manakala lagu berjudul "Alunan Lara" adalah lagu tema rasmi "Rahsia" yang dinyanyikan oleh Njwa.

Njwa juga merupakan komposer dan lirik untuk lagu edaran Rocketfuel Entertainment ini.

Diterbitkan oleh Astro Shaw bersama Five Star Trading, filem ini dijadualkan tayangan di pawagam seluruh negara bermula 10 Ogos.

Istimewa buat peminat, and boleh menjadi penonton terawal menyaksikan filem ini melalui ‘sneak preview’ bermula 9 Ogos dengan tayangan pertama bermula 8 malam.

Sertai peraduan filem Rahsia di platform sosial media Astro Shaw dan Astro Gempak bermula 10 Ogos 2023 untuk menangi hadiah eksklusif. Ikuti Broadcast Channel Astro Shaw untuk dapatkan info dan kata petunjuk.

SINOPSIS:

Rahsia membongkar sejarah silam sebuah keluarga. Ramlah pulang bercuti ke rumah ayahnya, Tan Sri Karim bersama suami, Hamdan dan anak-anak, Marina dan Saiful.

Keadaan menjadi keruh apabila Saiful tiba-tiba lesap sewaktu mereka berkelah di tepi pantai.

Pihak polis yakin Saiful hilang di persisiran pantai, namun Ramlah berkeras bahawa anaknya disembunyikan kuasa mistik.

Sementara Hamdan menyertai pihak polis dalam operasi pencarian, Ramlah diganggu oleh kelibat wanita yang menggerunkan.

Walaupun tiada bukti kukuh, Ramlah bertekad untuk berdepan dengan puaka tersebut sekali gus merungkai rahsia di sebalik kehilangan anaknya itu. -Gempak