BRUSSELS: Presiden Itali Sergio Mattarella pada Rabu menggesa rombakan besar-besaran terhadap angkatan tentera negara itu bagi menangani peningkatan ancaman siber, penyebaran maklumat palsu serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas dalam peperangan, lapor Anadolu Ajansi yang memetik agensi berita Itali ANSA.
Dalam mesej kepada Menteri Pertahanan Guido Crosetto, Mattarella memberi amaran bahawa konflik konvensional masih menjejaskan sebahagian besar kawasan di dunia, termasuk Eropah.
Beliau berkata konflik berkenaan semakin kerap disertai penyebaran maklumat palsu secara meluas, ancaman siber serta peningkatan penggunaan AI dan sistem autonomi.
Presiden itu menyifatkan penggunaan teknologi berkenaan dalam kegiatan yang bersifat ancaman sebagai perkembangan membimbangkan, sambil menekankan keperluan angkatan tentera menyesuaikan diri dengan pantas terhadap perubahan keadaan keselamatan.
"Situasi ini memerlukan keupayaan pembaharuan yang menyeluruh bagi mengintegrasikan teknologi baharu dengan pantas serta memastikan keupayaan sebenar untuk menghadapi cabaran pada masa depan," kata Mattarella.
-- BERNAMA-ANADOLU
TAG: Eropah, Itali, ancaman siber, peperangan, AI