FINAS kaji semula permohonan 'Itui Suli Suli Bajau!' untuk Skim Wajib Tayang

Azmir berkata, permohonan itu akan dibentangkan semula kepada Jawatankuasa Skim Wajib Tayang FINAS dalam masa terdekat untuk pertimbangan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memaklumkan permohonan filem Jom Kita Ke Laut: Itui Suli Suli Bajau! di bawah Skim Wajib Tayang yang sebelum ini ditolak, akan dinilai semula.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, permohonan itu akan dibentangkan semula kepada Jawatankuasa Skim Wajib Tayang dalam masa terdekat untuk pertimbangan.
Menurut beliau, penilaian awal Jawatankuasa Skim Wajib Tayang mendapati projek berkenaan tidak memenuhi takrifan sebagai filem cereka.
“Namun, kita perlu bersedia menghadapi perubahan landskap industri dan kemunculan genre baharu yang lebih kreatif. Sudah tiba masanya FINAS memainkan peranan menyokong usaha sebegini,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, antara cadangan penambahbaikan Skim Wajib Tayang ialah dengan memperkenalkan kategori kandungan ‘non-mainstream’ bagi memberi peluang dan galakan kepada karya yang tidak berteraskan arus perdana.
Selain itu, beliau berkata FINAS bercadang menjalin kerjasama strategik dengan komuniti perfileman serta fakulti universiti dan institusi pengajian tinggi bagi memperkukuh sokongan terhadap program dan pembangunan kandungan seumpamanya.
Filem dokumentari terbitan Fat Bidin Media dengan Kuman Pictures sebagai pengedar itu mengangkat kisah harapan dan cita-cita sekumpulan anak muda Bajau Laut di Pulau Omadal, Sabah, yang berdepan pelbagai cabaran termasuk isu kewarganegaraan, akses pendidikan serta masalah sosial.
Isnin lalu, Kuman Pictures dalam hantaran media sosial memaklumkan pihak produksi telah memperoleh kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) sebelum menghantar permohonan kepada Skim Wajib Tayang bagi membolehkan dokumentari itu memasuki pawagam melalui mekanisme wajib tayang.
Bagaimanapun, permohonan itu ditolak menerusi satu pemakluman pada 21 Januari lalu.
Kuman Pictures mendakwa surat penolakan itu tidak menyertakan sebarang sebab walaupun dalam masa sama memaklumkan bahawa pihak penerbit berhak mengemukakan notis rayuan dalam tempoh tujuh hari.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


