JAKARTA: Indonesia menggantung sementara semua penerbangan antarabangsa ke luar negara sebagai langkah berjaga-jaga susulan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.
Menteri Setiausaha Negara Prasetyo Hadi berkata semua rancangan perjalanan udara antarabangsa kini ditangguhkan berikutan keputusan kerajaan itu.
Advertisement
“Semua ditangguhkan. Ditangguhkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan Program Keutamaan Presiden pada Selasa, lapor Agensi Berita ANTARA.
Beliau berkata kerajaan masih belum menetapkan tarikh operasi penerbangan akan disambung semula, sambil menyatakan bahawa penggantungan itu akan kekal berkuat kuasa sehingga keadaan dianggap selamat untuk syarikat penerbangan nasional dan antarabangsa.
Prasetyo menjelaskan langkah itu adalah tindak balas langsung terhadap situasi keselamatan yang semakin buruk di Iran, sambil menambah bahawa keputusan itu dibuat bagi menjamin keselamatan rakyat Indonesia.
Beliau juga berkata tindakan berkenaan bertujuan mencegah potensi risiko maut yang berpunca daripada ketegangan geopolitik di sepanjang laluan penerbangan global.
-- BERNAMA