PESERTA Gegar Vaganza 9 (GV9), Jaclyn Victor terus membuktikan kehebatannya hingga membuatkan juri tetap Heety Koes Endang mengalirkan air mata.

Tampil di pentas minggu kedua GV9, Jaclyn menyanyi lagu yang dipopularkan kumpulan Slam, Gerimis Mengundang dengan versinya yang tersendiri.

"Ini lagu Zamani versi terbaik Jaclyn Victor," kata penyanyi legenda Indonesia itu.

Sebaik selesai Hetty yang mesra disapa Bunda itu memberi komen, pengacara GV9, Elly Mazelin menjemput penyanyi asal lagu berkenaan Zamani ke pentas sebagai kejutan kepada Jaclyn.

Zamani turut mengakui lagu Gerimis Mengundang versi Jaclyn adalah terbaik dan mempunyai gaya tersendiri.

Zamani, 51, akan mengadakan Konsert Doa Buat Zamani di Zepp KL pada 30 September sebelum menjalani pembedahan tulang belakang pada November ini.

Zamani menderita penyakit skoliosis iaitu tulang belakang melekung sejak 2015.

Tulang belakangnya kini sudah menekan tulang rusuk dan menghimpit jantung menyebabkannya perlu menjalani pembedahan segera.

Selain Jaclyn, GV9 menampilkan 13 peserta yang terdiri dari Dina Nadzir, Tomok, kumpulan VE, Bob Yusuf dan beberapa nama lain.