HIBURAN
Helloween kembali gegar Kuala Lumpur sempena ulang tahun ke-40

Helloween akan mengadakan konsert 40 Years Anniversary Tour di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Disember 2025 sempena ulang tahun ke-40.
KUMPULAN legenda power metal dunia, Helloween bakal mengadakan konsert khas “Helloween 40 Years Anniversary Tour” di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Disember ini, sempena sambutan empat dekad penglibatan mereka dalam industri muzik global.
Ringkasan AI
- Helloween akan mengadakan konsert 40 Years Anniversary Tour di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Disember 2025 sempena ulang tahun ke-40 mereka.
- Konsert ini menampilkan gabungan anggota asal dan baharu serta lagu-lagu ikonik seperti I Want Out dan Forever and One, dengan pengalaman audio visual bertaraf dunia.
- Tiket boleh dibeli di laman rasmi dengan pilihan bayaran fleksibel, dan peminat disarankan membeli awal kerana permintaan tinggi dijangka.

Ditubuhkan pada 1984 di Hamburg, Jerman, Helloween dikenali sebagai perintis genre power metal, dengan album epik seperti "Keeper of the Seven Keys Part I & II" yang melonjakkan nama mereka ke persada dunia.
Persembahan di Kuala Lumpur bakal menyaksikan gabungan barisan anggota asal dan baharu, termasuk Michael Kiske, Kai Hansen, dan Andi Deris.
Antara lagu popular yang dijangka dipersembahkan termasuk I Want Out, Eagle Fly Free, Forever and One dan Power, selain beberapa kejutan eksklusif khas buat peminat Malaysia.
Kali terakhir Helloween membuat persembahan di Malaysia ialah pada 28 April 2018 dalam siri jelajah Pumpkins United, menyatukan tiga vokalis utama mereka buat pertama kali sejak puluhan tahun.
Persembahan tersebut disifatkan sebagai penuh tenaga dan emosi, dengan ribuan peminat tempatan membanjiri dewan untuk menyaksikan momen bersejarah itu.
Kali ini, Zepp Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi konsert kerana fasiliti audio visualnya yang bertaraf dunia, membolehkan peminat menikmati pengalaman persembahan berskala antarabangsa dengan sistem bunyi berdefinisi tinggi dan pencahayaan imersif.

Tiket konsert kini boleh didapati menerusi laman rasmi www.myticketempire.com, dengan pilihan bayaran fleksibel melalui Atome, PayLater oleh Grab dan SpayLater oleh Shopee.
Peminat disarankan mendapatkan tiket lebih awal berikutan permintaan tinggi, di samping mengikuti saluran media sosial Rockstage Entertainment untuk maklumat terkini berkaitan konsert yang dijangka menjadi antara acara metal terbesar tahun ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami