Industri filem negara perlu fokus hasilkan karya yang baik dan berkualiti daripada terus berbalah, apatah lagi selepas pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menetapkan keputusan berkenaan isu bahasa.

Rata-rata pengarah muda menganggap, isu bahasa yang menjadi perdebatan dalam Festival Filem Malaysia (FFM) kali ini, hanyalah perkara remeh berbanding masalah sebenar yang membelenggu industri.

Bagi pengarah filem Love Supermoon, Wan Hasliza Wan Zainuddin, beliau kesal dengan perbalahan yang berlaku yang telah sedikit sebanyak menjadikan industri seni seperti dalam keadaan kucar-kacir.

Beliau yang juga merupakan calon bagi kategori pengarah terbaik di FFM kali ini berpendapat bahawa keputusan KKMM untuk membuka penyertaan anugerah filem terbaik kepada semua, dapat menaik taraf industri seni Malaysia.

“Saya berada di jalan tengah. Saya setuju bahawa bahasa kebangsaan harus dijulang, tetapi pada masa yang sama saya juga mahu memastikan standard industri ini sangat tinggi.

“Dengan adanya persaingan dari filem bahasa lain, ia boleh menjadikan kualiti filem kita sangat tinggi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Manakala bagi pengarah filem Terbaik Dari Langit, Nik Amir Mustapha, pemain industri tidak perlu memanjangkan isu ini tetapi perlu harus terus ke hadapan daripada berpecah belah kerana perkara berkenaan.

“Saya lihat industri kita sebenarnya ada masalah lain yang lebih besar daripada ini (isu bahasa), terutamanya masalah industri filem yang tidak berapa sihat sekarang ini.

“Jika mahu dibandingkan dengan taraf luar negara, malah dalam rantau sendiri pun, pencapaian kita masih jauh. Ini pula nak disibukkan dengan isu-isu remeh seperti ini,” katanya.

Keputusan yang dibuat Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada 10 Ogos lalu, menyebabkan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) mengumumkan tidak lagi bersama FFM.

FDAM juga dilaporkan berantakan selepas membuat keputusan untuk memulaukan FFM28.