PENYANYI Ernie Zakri mendedahkan pengisian album sulungnya, Aura merangkumi pelbagai elemen dalam kehidupan seperti pesan tentang peneguhan diri dan sikap positif, selain nasihat dan motivasi yang didedikasikan untuk pendengar.

Ernie berkata, sebagai pembuka cerita kepada album perdana miliknya, lagu berjudul Masing-Masing diberi penghormatan menjadi single pertama untuk memperkenalkan Aura.

Masing-Masing merupakan sebuah naskhah galau yang bertemakan putus cinta.

Naskhah yang digubah dan ditulis oleh Ade dari kumpulan Govinda bersama Nabila V ini disifatkan Ernie sebagai sebuah naskhah yang mempunyai jalan cerita tersendiri.

“Saya dan Mas Ade bersependapat untuk menghasilkan lagu galau dengan kisah putus cinta yang sedikit berbeza.

"Masing-Masing mengisahkan pasangan yang terpaksa teruskan kehidupan mereka dengan cara berpisah demi mencari kebahagiaan diri sendiri.

“Tidak semua perpisahan tentang pertengkaran atau pergaduhan. Ada perpisahan yang berlaku atas persetujuan kedua-dua pihak demi mencapai kebahagiaan sendiri.

"Saya tahu ramai rakyat Malaysia yang suka lagu galau sebegini,” kongsi Ernie.

Album Aura yang membabitkan ramai komposer dan penerbit mengambil masa sekitar setahun untuk disiapkan.

“Saya yang meminta sendiri lagu daripada penulis serta pencipta yang terbabit dalam album ini. Proses rakaman kesemua lagu juga memakan waktu sekitar tiga hingga empat bulan.

“Jadi saya harap para pendengar akan dapat memahami apa yang saya cuba sampaikan di dalam album ini.

"Semoga ia menjadi teman buat mereka yang memerlukan semangat serta kekuatan itu,” katanya lagi.

Album Aura menampilkan 10 buah lagu dengan pembabitan nama-nama besar industri muzik serantau seperti Aubrey Suwito, Ezra Kong, Faizal Tahir, Amylea Azizan, Rozi Sangdewi, Helen Yap, Firdaus Rahmat, John Jeeves dan Ade Govinda.

Aura juga menampilkan suami Ernie, Syamel yang menyumbangkan lagu Jangan Hilang Percaya.
Aura kini berada di semua platform muzik bermula 3 November lalu. -Gempak