Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersedia memberikan penjelasan kepada pihak industri kreatif dan penggiat seni yang ingin mendapatkan penerangan berhubung Garis Panduan Hiburan Menurut Islam yang telah disediakan.

“Garis Panduan Hiburan berkenaan sememangnya telah dirujuk oleh beberapa pihak industri dan penggiat seni kepada Jakim walaupun jumlahnya masih belum membanggakan.

“Jakim percaya dengan kewujudan Garis Panduan Hiburan Menurut Islam tersebut akan menjadi rujukan semua pihak termasuk mereka yang terlibat dengan industri kreatif agar karya yang dihasilkan selari dengan syariat Islam dan mampu mengekang kesan-kesan negatif kepada masyarakat,” kata Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Datuk Razali Shahabudin dalam satu kenyataan.

Garis Panduan Hiburan Menurut Islam telah dipersetujui oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-68 pada 12 April 2005 dan diterbitkan untuk cetakan pertama pada tahun 2007.

Penyediaan Garis Panduan Hiburan berkenaan telah melalui perbincangan dan perbahasan Panel Pakar Syariah (PPS) Jakim sebelum ia telah disemak semula untuk penambahbaikan selaras dengan perkembangan semasa industri hiburan pada tahun 2014.

Garis Panduan Hiburan Menurut Islam edisi terbaru ini diluluskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk kali ke-107 pada 10-11 Februari 2015.

Antara garis panduan yang terdapat pada edisi terbaharu termasuk pengasingan peraturan mengasingkan antara penonton lelaki dan perempuan di konsert dan persembahan pentas.

Jakim turut tidak membenarkan muzik dan lirik yang mempunyai unsur "menyembah" dan dianggap suci bagi penganut agama selain Islam.

Garis panduan tersebut boleh didapati dalam bentuk dokumen di laman web Jakim.