BINTANG Gema Gegar Vaganza 2 (GGV2), Fitri Haris meminta agar netizen tidak melaga-lagakannya dengan kumpulan nasyid popular UNIC.

Hal itu timbul ekoran pemilihan lagu Zinnirah sempena konsert akhir GGV2 yang akan berlangsung pada malam ini.

"Saya bukan nak lawan UNIC dan jangan laga-lagakan kami!

"Ada suara-suara mula membawang dengan jayanya mengatakan kenapa nyanyi lagu Zinnirah? UNIC nak keluar Zinnirah 2018 lagi beberapa hari.

"Saya tiada jawapan selain mendoakan agar dibuka hati para pemotong bawang supaya minatlah pada mesej dan lagu yang disampaikan bukan kepada yang membawa.

"Apa yang saya boleh nyatakan, di hati saya tiada langsung utk berlawan atau membezakan versi pentas final GGV dan versi UNIC," tulis Haris di Instagramnya.

Fitri yang juga bekas anggota kumpulan UNIC memberitahu hubungannya dengan UNIC masih baik.

"Kami sama-sama memerah buah fikiran dan ingin hadiahkan yang terbaik, saya minta pertolongan satu sahaja jangan laga-lagakan kami dengan ketidak sensitifan anda.

"Saya, Fakhrul, Najdi dan Bazli bersahabat dan sering memberi sokongan dan doa sesama kami. Moga segalanya di permudahkan.

"Saya akan sentiasa menyokong dan menyayangi UNIC tidak kira siapa jua ahlinya.

"Kerana itulah tempat saya dilahirkan di dalam industri ini," tambah Fitri.

Menerusi konsert final GGV2, Fitri bakal menyanyikan lagu Zinnirah yang pernah dimuatkan dalam album UNIC pada tahun 2003 untuk persembahan solonya.

Manakala untuk pusingan battle, Fitri bakal berentap dengan Adeep Nahar menerusi lagu Al Nuraa... Yang Lima... Yang Enam...

GGV2 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap Sabtu, pukul 9.00 malam.

GGV2 akhir akan ditayangkan di lima saluran iaitu Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135), Astro Ria (saluran 104), Ria HD (saluran 123) dan saluran terbaharu sempena Ramadan, Ramadan HD (saluran 122).

Konsert final GGV2 bakal membawa tema Gema Akhir dan 6 bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert minggu GGV2 atau ingin mendapatkan segala informasi mengenai GGV, klik ---> GemaGegarVaganza.