Tiada penalti CP500 bagi pembayar cukai individu tahun taksiran 2026 - LHDN

HASiL menyarankan pembayar cukai melaporkan pendapatan dengan betul dan tepat bagi memastikan pengurusan cukai yang lebih cekap dan teratur. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) memaklumkan bahawa pembayar cukai individu yang menerima Notis Bayaran Ansuran (CP500) tidak akan dikenakan penalti bagi Tahun Taksiran (TT) 2026.
HASiL dalam kenyataan hari ini berkata langkah itu selaras dengan persetujuan kerajaan untuk memberikan tempoh peralihan kepada pembayar cukai individu yang mempunyai pendapatan daripada punca penggajian dan bukan penggajian seperti sewa, faedah serta royalti.
“Dalam tempoh peralihan ini, tiada penalti akan dikenakan sekiranya pembayar cukai tidak membuat bayaran ansuran CP500.
"Walau bagaimanapun, pembayar cukai digalakkan membuat bayaran secara sukarela bagi mengurangkan beban baki cukai semasa pemfailan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) kelak,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan, HASiL menjelaskan pembayar cukai yang hanya mempunyai punca pendapatan penggajian tidak perlu mematuhi arahan bayaran ansuran tersebut, namun mereka dinasihatkan mengemas kini pelaporan pendapatan dalam BNCP bagi TT 2025 untuk mengelakkan arahan CP500 pada masa hadapan.
Selain itu, HASiL akan menghubungi pembayar cukai yang terlibat bagi menjelaskan sebarang kesilapan pelaporan pendapatan dalam BNCP yang telah dikemukakan sebelum ini.
“Pembayar cukai yang ingin membuat pindaan amaun CP500 melalui Borang Permohonan Pindaan Bayaran Ansuran (CP502) boleh berbuat demikian berdasarkan anggaran pendapatan dan cukai kena dibayar bagi TT 2026.
"Pindaan kali pertama perlu dibuat tidak lewat daripada 30 Jun 2026 dan pindaan kali kedua tidak lewat daripada 31 Oktober 2026,” katanya.
HASiL turut menyarankan pembayar cukai melaporkan pendapatan dengan betul dan tepat bagi memastikan pengurusan cukai yang lebih cekap dan teratur.
"HASiL komited untuk terus memperkasakan sokongan dan bimbingan kepada pembayar cukai bagi memudahkan pelaksanaan tanggungjawab percukaian secara telus dan efisien," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


