SINGAPURA: Dunia mengetahui, negara jiran Malaysia - Singapura - menerima kehadiran artis popular bertaraf antarabangsa minggu ini, Taylor Swift.

Penyanyi itu dijadual menganjurkan siri jelajah Taylor Swift's Eras dan menurut artikel Frances Mao di BBC, jelajah itu merupakan “satu penghormatan, tetapi satu penghormatan yang perlu 'dibayar harganya'”.

Bayaran buat Swift pada mulanya dilaporkan setinggi S$24 juta (RM84 juta) untuk enam pertunjukan eksklusif untuk negara Asia Tenggara itu.

Menteri Kebudayaan Singapura, Edwin Tong memberitahu CNA Singapura bahawa bayaran sebenar "tidak setinggi itu" - walaupun beliau masih enggan mendedahkan angka yang tepat.

Begitupun, fakta sebenar wang yang dibelanjakan hanya terungkap selepas kecaman daripada perdana menteri Thailand, Srettha Thavisin yang berkata Singapura membayar penganjur konsert S$2-3 juta setiap malam.

Itu mencetuskan kritikan di seluruh rantau Asia Tenggara.

Di Filipina, seorang penggubal undang-undang mengkritik langkah itu, berkata "jiran yang baik tidak melakukan perkara itu" - dan menggesa bantahan rasmi terhadap perkara itu.

Begitupun, tatkala kerajaan Singapura memerhati ada yang marah namun jualan tiket tetap laris.

Nama Swift kedengaran di mana-mana pelusuk di seluruh Asia Tenggara, yang menempatkan kira-kira 700 juta orang - daripada lorong-lorong di Ho Chi Minh hingga teksi di Bangkok.

Mata wang Singapura - salah satu yang terkuat di Asia - telah lama menjadi penghalang kepada pelawat.

Begitupun, peluang untuk peluang melihat idola mereka, ramai peminatnya sanggup menanggung ‘harga mahal itu dan hanya tersenyum’.

Dalam pada itu, Singapura berkata siri jelajah Swift akan membawa faedah ekonomi tertentu kepada negara itu.

Tetapi berapa banyak keuntungan bersih yang akan dijana tidak jelas.

Menurut Frances, BBC telah menghubungi Lembaga Pelancongan Singapura tetapi mereka enggan mendedahkan anggaran pelawat asing atau model lain.

Sebuah bank tempatan telah menganggarkan bahawa perbelanjaan pengguna mungkin melebihi S$350 juta - tetapi itu berdasarkan ramalan yang sangat optimistik bahawa 70 peratus daripada hadirin adalah dari luar negara.

Malah Grand Prix Formula One Singapura hanya menyaksikan 49 peratus penonton dari luar negara pada 2022, dengan rekod 300,000 penonton.

Tetapi pensyarah perniagaan, Julien Cayla dari Universiti Teknologi Nanyang Singapura menegaskan perbelanjaan awam harus diteliti - terutamanya apabila ia hanya didedahkan kepada rakyat oleh kerajaan negara lain.

Tambahnya, di negara yang faedah kebajikannya agak terhad - ia boleh dilihat sebagai perbelanjaan yang banyak.

“Untuk mewajarkan perbelanjaan (dilaporkan) S$24 juta pada sesuatu yang pada zahirnya mungkin tidak begitu kritikal kepada prestasi ekonomi negara berbanding perbelanjaan untuk orang ramai dan perkhidmatan awam... terdapat ketegangan di sana," kata Prof Cayla.

Namun begitu, beliau dan yang lain berkata apabila dalam merancang sektor pelancongan, kerajaan mempunyai mandat untuk melaburkan wang dan Singapura tidak terkecuali. -- Agensi